Isu kereta baharu rosak: Lemon Law wajar lindungi pembeli

Gambaf kecil: Mustafar
Gambaf kecil: Mustafar
A
A
A

IPOH - Persatuan Pengguna Jalan Perak menyokong supaya kerajaan segera mewujudkan undang-undang khas dikenali sebagai Lemon Law bagi memastikan hak pembeli kenderaan dilindungi di negara ini.

Pengerusinya, Mustafar Rahadi berkata, undang-undang khusus seperti itu amat penting dalam memastikan pelanggan yang membeli kenderaan mendapat pembelaan sewajarnya jika ditipu atau terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan kenderaan yang baharu dibeli.

Menurut beliau, walaupun isu kerosakan kenderaan yang baharu dibeli terpencil dan jarang berlaku, namun kewujudan undang-undang berkaitan dapat memastikan hak pembeli terbela serta memastikan pihak berkaitan lebih bertanggungjawab.

"Kami meneliti isu yang berbangkit mengenai pelanggan yang tidak sampai lapan jam terima kereta baharu dibeli sudah rosak dan terpaksa menanggung kerugian kerana terpaksa membayar pinjaman walaupun kereta tidak dapat digunakan.

"Memandangkan undang-undang ini sudah pun digunakan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Singapura, Filipina dan negara-negara Eropah, jadi amat wajar undang-undang baharu diwujudkan di negara ini bagi memastikan tiada pelanggan yang membeli kenderaan ini teraniaya akibat kecuaian atau kesilapan daripada pihak lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Mustafar juga menggesa siasatan secara terperinci dijalankan berhubung isu Perodua Bezza yang didakwa rosak kerana terdapat benda asing seperti gula di dalam enjin kenderaan tersebut.

Katanya, berdasarkan maklum balas Perodua berhubung isu tersebut, sudah pasti syarikat kenderaan berkenaan sudah mengambil langkah terbaik menyelesaikan isu tersebut.

Jelasnya, punca kenderaan tersebut rosak memerlukan siasatan lebih mendalam untuk mengenal pasti masalah sebenar dan sekali gus membolehkan tindakan lanjut dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis, kerajaan digesa mewujudkan satu undang-undang baharu yang dikenali sebagai Lemon Law bagi melindungi pembeli daripada kerugian apabila kenderaan yang baru dibeli mengalami kerosakan.

Ia susulan kes seorang kerani wanita yang membeli kereta baharu tidak sampai lapan jam sudah mengalami kerosakan apabila enjin kenderaan terbabit gagal dihidupkan.