Syarikat seleweng zakat MAIPk lebih RM9.6 juta disiasat
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.
"Kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat dalam tempoh tahun lalu dua kes direkodkan di Selangor, masing-masing satu kes di Terengganu dan Perak.
“Kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu RM9,629,682 selepas disyaki telah gagal mendepositkan wang kutipan zakat, kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Ramli berkata, siasatan masih dijalankan dan terdapat individu yang akan dipanggil dalam terdekat.
"Kita memberikan amaran keras kepada pelaku-pelaku jenayah ini bahawa tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang akan diambil bagi memastikan jenayah sebegini tidak berulang," katanya.
Beliau berkata, kes tersebut amat mendukacitakan apabila wang zakat juga turut diseleweng oleh individu-individu yang diamanahkan untuk mengutip wang tersebut.
“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana zakat merupakan satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap Muslim.
“Sewajarnya, wang kutipan zakat diuruskan dengan baik dan penuh amanah agar ianya dapat dimanfaatkan sesuai dengan kehendak agama,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!