Khai Bahar akui terkilan
PENYANYI dan pelakon popular, Khai Bahar mengakui agak terkilan kerana tidak berada di sisi ibunya, Rosnah Mohd ketika wanita yang paling disayangi dalam hidupnya menghembuskan nafas terakhir.
Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 30, dia berada di Pulau Langkawi ketika mendapat tahu berita duka itu.
"Terima kasih sebab mendoakan arwah mak saya, rasa terkilan tak sempat tatap wajah mak kali terakhir, baru minggu lepas balik jumpa dan sambut birthday mak.
"Tak sangka mak dah tak ada, malah adik, kakak dan abang yang jaga mak hari-hari di rumah pun tak sangka yang mak akan pergi sekelip mata.
"Sewaktu adik telefon, saya baru nak makan. Bila dapat tahu mak dah tak ada, terus rasa dunia gelap gelita, seolah-olah sedang bermimpi.
"Kawan-kawan cuba tenangkan saya dan saya sedaya-upaya cari jalan untuk pulang ke Kangar dari Pulau Langkawi," kongsinya.
Khai berkata, dia bersyukur perjalanan pulang ke kampung halaman dipermudahkan dan tiba lebih kurang jam 2 pagi.
"Dalam perjalanan naik bot, cuaca cantik sangat, bulan, bintang terang, langit cerah. Hati rasa sayu seolah-olah mak sedang tunggu saya di rumah," luahnya.
Imbau semula detik akhir sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, pelantun Luluh itu memberitahu, ibunya sempat meminta air daripada kakaknya.
Selepas memberi air yang diminta, kakaknya naik ke atas untuk melihat anak-anak dan turun semula tidak sampai 15 minit kemudian.
"Tak sampai 15 minit kakak turun dan nampak mak seolah-olah sedang tidur, kakak cuba kejutkan mak bangun untuk minum. Mak tak bergerak dan kakak cuba untuk kejutkan lagi.
"Berkali-kali kejut masih tak bangun, kakak panggil adik turun untuk bantu kejut mak, mak masih tak bangun dan tak bergerak. Adik cuba pegang nadi mak, nadi mak tak berdenyut dan terus call ambulans," katanya yang bersyukur kerana sempat berbakti kepada ibunya walaupun hanya untuk seketika.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!