Segera perkenalkan RUU Omnibus - Ideas
SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mencadangkan agar kerajaan segera memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Omnibus bagi membenarkan perkongsian data sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di peringkat kerajaan dan agensi.
Pengarah Penyelidiknya, Dr Juita Mohamad berkata, adalah penting untuk menangani permasalahan tersebut kerana akta itu juga berkaitan dengan perlindungan data peribadi pengguna di negara ini.
"Walaupun PADU mewajibkan kemas kini data daripada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas, penting bagi kerajaan untuk turut memperkenalkan langkah memastikan golongan di kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses sama supaya maklumat peribadi mereka boleh dikemas kini dalam talian.
“Komunikasi perlu diutamakan untuk kumpulan yang rendah tahap digital agar sokongan dan bantuan diperlukan dapat diterima tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming memaklumkan bahawa terdapat kelemahan pada sistem PADU termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data.
Jelasnya, pendaftaran PADU perlu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga beberapa kelemahan keselamatan diperbetulkan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Dr Tricia Yeoh memaklumkan, bagi menjayakan PADU, tindakan lanjut perlu diambil di peringkat kementerian dan orang awam, terutamanya golongan yang mudah terdedah kepada kebocoran data peribadi.
Tambah beliau, pemantauan perlu dilakukan dalam jangka masa sederhana dan panjang memandangkan sistem yang bakal mengagihkan bantuan serta subsidi itu dijangka menjadi pangkalan data paling komprehensif di negara ini.
“Kelemahan sistem PADU boleh memberi kesan kepada pengurusan peruntukan kurang efisien, bantuan gagal disampaikan kepada golongan memerlukan dan meruncingkan jurang sosioekonomi Malaysia.
“Dengan pelaksanaannya yang harmoni, sistem keselamatan sosial boleh diperkukuh dan lebih inklusif.
“Tambahan pula, kejayaan PADU juga bergantung kepada kerjasama agensi kerajaan berbeza untuk berkongsi data di peringkat persekutuan dan daerah,” ujarnya.
Justeru, pihaknya turut menyambut baik dan menzahirkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Perpaduan atas inisiatif yang sudah lama dinantikan rakyat.
Menurut Tricia lagi, ia bakal menjadi ‘game changer’ dalam memberikan subsidi secara bersasar, perlindungan sosial dan bantuan kepada golongan layak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!