Hospital Umum Sarawak peneraju ujian FIH pertama di Malaysia
PUTRAJAYA - Hospital Umum Sarawak (HUS) bakal menjadi peneraju dalam melaksanakan ujian klinikal ke atas manusia (FIH) di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ujian tersebut akan mendapat kerjasama daripada organisasi farmaseutikal global, Roche Pharmaceuticals di bawah bidang reumatologi.
"Kajian tersebut akan dijalankan di Pusat Penyelidikan Klinikal HUS yang dikendalikan oleh pakar perunding reumatologi, Dr Teh Cheng Lay.
"Ia secara khusus meneroka rawatan selamat untuk pesakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE)," katanya ketika berucap pada Majlis Kecemerlangan Penyelidikan Klinikal dalam Fasa Awal dan Pembangunan Insan di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly memaklumkan, Malaysia mencatatkan bilangan tertinggi penyelidikan tahunan yang ditaja Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) dalam tempoh 11 tahun iaitu 276 sehingga November 2023.
Menyedari keperluan ini ujarnya, CRM telah meletakkan misi 10 tahun yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di Asia.
"Dalam misi mengembangkan penyelidikan klinikal profesional yang mampu memenuhi keperluan industri, Pusat Kecemerlangan (CoE) CRM bertindak mencipta bakat dan melengkapkan graduan baharu dengan set kemahiran diperlukan bagi meneruskan kerjaya dalam bidang berkaitan.
"Inisiatif ini akan disokong oleh Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) serta pihak berkepentingan yang diwakili oleh organisasi farmaseutikal terkemuka.
"Melalui kerjasama ini, CRM dan PhAMA bersedia untuk menyumbang kepada kemajuan penjagaan kesihatan dan sektor farmaseutikal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!