[VIDEO] Penduduk rayu selesaikan masalah banjir

A
A
A

KOTA TINGGI - Penduduk sekitar Taman Aman dan Taman Mawai di sini memohon pihak berwajib untuk segera menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan perumahan berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan perumahan berkenaan dinaiki air susulan hujan lebat pada pagi Khamis, namun ia surut menjelang petang.

Seorang penduduk, Sadiah Ahmad, 38, berkata, banjir kali ini merupakan yang kedua berlaku selepas kejadian pada Mac 2023.

Katanya, keadaan banjir pada Mac lebih serius berbanding kali ini kerana rumahnya dinaiki air yang mencecah sehingga enam kaki (1.8 meter).

"Setakat ini dah dua kali (banjir) berlaku, sebelum ini pada Mac tahun lepas sampai enam kaki.

"Tapi sekarang walaupun tak sampai enam kaki tapi banyak juga barang rumah yang rosak.

"Harap pihak Majlis atau siapa-siapalah dapatlah buat perparitan atau saliran baharu agar taman kami terhindar daripada banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Air sungai berhampiran melimpah dan memasuki kawasan rumah penduduk di Taman Aman, Kota Tinggi. (Gambar kecil: Ganesan, Teck Huat, Sadiah)
Air sungai berhampiran melimpah dan memasuki kawasan rumah penduduk di Taman Aman, Kota Tinggi. (Gambar kecil: Ganesan, Teck Huat, Sadiah)

Bagi seorang lagi penduduk, M Ganesan, 35, kejadian banjir berkenaan sudah beberapa tahun berlaku, namun tidak banyak perubahan dilakukan bagi mengatasi bencana itu.

"Banjir ni dah banyak tahun rasanya, sejak saya berumur 10 tahun, tak berubah.

"Bila bulan 12 (Disember) sahaja, Mesti air naik... separuh pinggang atau paras kaki... Tak tahu lah, pihak Majlis tolonglah ambil tindakan cepat," katanya.

Air longkang di hadapan taman berkenaan melimpah hingga ke jalan raya.
Air longkang di hadapan taman berkenaan melimpah hingga ke jalan raya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Yap Teck Huat, 45, berkata, setiap tahun kawasan tersebut pasti akan dilanda banjir.

Katanya, air banjir berkenaan disyaki dari arah Mawai sebelum memasuki kawasan perumahan berkenaan.

"Tiap-tiap tahun pun banjir... pihak Majlis kena datang tengoklah dan baiki longkang supaya air dari Mawai tak turun ke sini. Kau tak setiap tahun pun banjir," katanya.

Keadaan kawasan hadapan Taman Aman yang dinaiki air.
Keadaan kawasan hadapan Taman Aman yang dinaiki air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!