Mangsa banjir Johor meningkat kepada 1,024

Anggota bomba membantu penduduk Kampung Sentosa Damai, Johor Bahru, pada Khamis berpindah selepas kediaman mereka banjir. Foto ihsan Bomba Johor
Anggota bomba membantu penduduk Kampung Sentosa Damai, Johor Bahru, pada Khamis berpindah selepas kediaman mereka banjir. Foto ihsan Bomba Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir di Johor terus meningkat apabila seramai 1,024 orang dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri setakat jam 8 malam Khamis.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa banjir berkenaan melibatkan 252 keluarga dari empat daerah yang terjejas iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.

"Johor Bahru masih lagi daerah paling teruk terjejas ketika ini dengan seramai 404 mangsa daripada 106 keluarga dipindahkan ke empat buah PPS diikuti Kota Tinggi dengan seramai 348 mangsa (72 keluarga) di enam buah PPS.

Bilangan mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,024 orang setakat jam 8 malam Khamis. Foto APM Johor
Bilangan mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,024 orang setakat jam 8 malam Khamis. Foto APM Johor

"Di Mersing menyaksikan seramai 212 mangsa (56 keluarga) ditempatkan di dua buah PPS dan di Kluang pula seramai 60 mangsa (18 keluarga) di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Azmi berkata, semua mangsa banjir berkenaan dipindahkan ke PPS selepas kediaman masing-masing dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak lewat malam Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor itu berkata, banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian.

Artikel Berkaitan:

Anggota Pertahanan Awam Malaysia meninjau keadaan mangsa banjir di PPS di Dewan Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis. Foto APM Johor
Anggota Pertahanan Awam Malaysia meninjau keadaan mangsa banjir di PPS di Dewan Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru pada Khamis. Foto APM Johor

Sementara itu, beliau memberitahu, Jabatan Meteorologi sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga 7 Januari bagi hampir semua daerah di negeri ini kecuali Tangkak.

"Satu sungai di negeri ini telah mencapai paras air berbahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang," ujarnya.

Selain itu katanya, ketika ini dua laluan ditutup sepenuhnya untuk kenderaan iaitu Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Masuk Tenggaroh Timur-Tanjung Leman, kedua-duanya di Mersing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!