MSN jangka lebih 25 atlet beraksi di Paris 2024

Sukan Olimpik Paris 2024. Foto AFP
Sukan Olimpik Paris 2024. Foto AFP
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menjangkakan lebih kurang 25 hingga 30 atlet akan layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini, angka yang hampir sama dengan edisi-edisi lepas.

Ketua Pengarah baharunya, Abdul Rashid Yaakub berkata, jumlah itu boleh meningkat sehingga lebih 50 sekiranya skuad hoki lelaki kebangsaan berjaya melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu selepas kemarau selama 24 tahun.

Dengan harapan besar rakyat Malaysia untuk menamatkan penantian lebih enam dekad untuk merangkul pingat emas pertama, beliau berkata badminton, berbasikal trek dan terjun kekal sebagai prospek utama pingat bagi kontinjen negara.

"Peluang untuk pingat tetap ada, bukan sahaja di Olimpik tetapi dalam mana-mana kejohanan. Pertamanya atlet perlu percaya diri mereka dan buat persediaan yang baik, kemudian apabila tiba di sana, mereka perlu pamerkan aksi terbaik, sekurang-kurangnya rekod kebangsaan atau rekod peribadi terbaik, yang mungkin membawa peluang meraih pingat.

Kita masih bergantung kepada berbasikal, badminton dan terjun (untuk pingat), tetapi sukan ketepatan seperti menembak dan memanah juga boleh cipta kejutan. Harapan besar semua pihak adalah, kalau boleh, menang emas pertama di Paris tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Abdul Rashid yang dilantik ke jawatan itu pada awal November lepas menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bersara wajib, berkata, pihaknya sedang memberikan bantuan dari segi sokongan sains sukan, kejurulatihan dan perundingan yang terbaik kepada atlet yang sudah layak dan berpotensi layak ke Paris 2024 menerusi Program Podium dan Road to Gold (RTG).

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib yakin bahawa faktor kewangan tidak akan menjadi isu dalam memberikan sokongan terbaik buat prospek pingat, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM20 juta khas untuk RTG dalam Belanjawan 2024.

"Kita pun tahu RTG dapat bajet lebih tahun ini, banyak akan disalurkan kepada kontinjen Paris ini, dan kita harap ia akan membantu mereka meraih pingat kerana dari segi perkhidmatan sokongan kita bagi maksimum. Terpulang kepada kehebatan atlet itu untuk membawa pulang pingat.

Artikel Berkaitan:

"Menjelang beberapa bulan lagi, fokus utama adalah persiapan dan latihan fasa terakhir. Ada sukan yang mahu pergi awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan sebagainya,” katanya.

Buat masa ini, atlet pelayaran wanita Nur Shazrin Latif, Johnathan Wong (menembak lelaki), Bertrand Rhodict Lises (terjun lelaki), Ariana Nur Dania Zairi (memanah wanita) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya wanita) (telah mengesahkan tiket ke Paris 2024.

Peluang terakhir buat skuad hoki yang dikenali sebagai Speedy Tigers, yang kali terakhir beraksi di Olimpik Sydney 2000, adalah ketika Kejohanan Kelayakan di Muscat, Oman bermula 15-21 Jan ini, manakala bagi kebanyakan sukan lain seperti berbasikal trek, badminton dan terjun, kelayakan akan disahkan menjelang April dan Mei ini.

Pada edisi Tokyo 2020, Malaysia yang diwakili oleh 30 atlet, meraih sebutir perak menerusi Datuk Mohd Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik bagi acara badminton beregu lelaki. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!