Captain America, Deadpool sambut murid SK St Paul
SEREMBAN – Captain America dan Deadpool yang dipilih sebagai ‘penyambut tetamu’ di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul di sini dilihat bukan sahaja menggembirakan murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini malah menarik menarik perhatian 700 murid dan ibu bapa.
Guru Besar A Santhanasmy berkata, idea menyediakan 'penyambut tetamu' dari watak filem kegemaran ramai itu bermula sejak tahun 2016 selepas perbincangan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Pengurus Sekolah.
“Tahun pertama kita bawa badut sambut murid dan idea itu memang berhasil untuk mewujudkan suasana ceria serta menghilangkan gemuruh murid Tahun Satu yang memulakan hari pertama persekolahan.
“Jadi setiap tahun kita nak tampilkan sesuatu yang lebih menarik dan kehadiran watak adiwira dari filem lebih mengujakan 105 murid baharu," katanya.
Menurutnya, semua murid Tahun Satu juga dipakaikan dengan lencana ditulis ‘Saya seorang yang hebat’ sebagai tanda mereka murid terpilih yang memasuki sekolah berkenaan.
“Guru lebih mudah menguruskan proses pengajaran dan pembelajaran apabila tiada murid yang menangis atau meragam. Ibu bapa juga tidak perlu bimbang meninggalkan anak-anak mereka di sekolah
"Kita memperuntukkan kira-kira RM1,000 untuk menyewa dua kostum termasuk menyediakan lencana itu,” katanya.
Katanya, pihak sekolah perlu kreatif menarik minat murid untuk ke sekolah dan idea seperti itu yang kini menjadi trend perlu diteruskan selagi memberi kesan positif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!