Jualan buku seram serendah RM5
SHAH ALAM - Jualan buku seram serendah RM5 adalah antara tawaran menarik yang diberikan kepada pengunjung Festival Seram Buku Prima 2024 di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini bermula dari 5 hingga 7 Januari ini.
Eksekutif Pemasaran Karangkraf Mall, Nur Syahidah Husin berkata, tawaran itu khusus kepada pengunjung, terutamanya penggemar genre seram untuk mendapatkan novel mistik pada harga yang murah dan mampu milik.
Selain harga istimewa, Karangkraf turut menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus melibatkan novel, buku islamik, kanak-kanak, al-Quran dan sebagainya kepada pemegang kad ahli VIP, katanya.
“Bagi yang belum ada kad ini, mereka boleh daftar secara terus semasa membuat pembayaran di kaunter sepanjang tiga hari festival berlangsung dengan bayaran sebanyak RM10 seumur hidup.
“Kami juga memberi diskaun 10 peratus kepada pengunjung yang belum menjadi ahli.
“Orang ramai jangan lepaskan peluang berharga ini kerana buku yang dijual bukan bergenre seram sahaja malah turut menampilkan pelbagai jenis lain yang bersesuaian mengikut peringkat umur,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Festival Seram Buku Prima 2024 yang berlangsung selama tiga hari itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran, rumah hantu dan gerai jualan makanan termasuk reruai Sinar Harian iaitu Zon Keras yang mengetengahkan isu misteri, psiko serta thriller.
Antara tarikan paling menarik di zon tersebut ialah bilik pengakuan dan soal siasat yang biasa dilakukan oleh polis terhadap suspek sesuatu kes.
Dalam pada itu, Syahidah berkata, pengunjung yang membeli dua novel siri Gerbang Puaka layak mendapat hadiah.
“Selain itu, pembelian minimum RM100 juga akan mendapat beg bukan tenunan (non-woven bag) edisi seram khas sempena festival ini sahaja.
“Jangan lepaskan peluang ini kerana banyak promosi menarik yang kami tawarkan khas buat pengunjung festival kali ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!