Tak sempat rasa hasil

Hasil tanaman terung penduduk orang asli suku Bateq terjejas akibat musim tengkujuh.
Hasil tanaman terung penduduk orang asli suku Bateq terjejas akibat musim tengkujuh.
A
A
A

GUA MUSANG - Hasil terung yang diusahakan 53 keluarga orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, di sini terjejas akibat hujan berlarutan sepanjang musim tengkujuh.

Penduduk, Johari Kulim, 35, berkata, faktor cuaca menyebabkan sebahagian pokok mati tanpa sempat mengeluarkan hasil.

Menurutnya, hasil berkenaan tidak sempat dipasarkan dan hanya beberapa pokok yang mengeluarkan hasil.

"Ada beberapa pokok yang masih hidup tetapi hasilnya tidak memberangsangkan dan ada juga yang bantut. Jadi ramai yang sudah kembali mencari rezeki di hutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Mohammad Pokok, 39, berkata, tanaman itu hanya sekali mengeluarkan hasil dan keadaan cuaca menyebabkan sebahagian besarnya mati.

"Penduduk kampung diagihkan 20 pokok setiap satu keluarga untuk diusahakan di tanah seluas 100 meter persegi.

"Bagaimanapun, sumber rezeki utama masih di hutan dan mereka hanya perlu memantau serta memastikan tanaman itu berbuah tapi cuaca buruk pada musim tengkujuh lalu menyebabkan tanaman ini mati," katanya.

Projek tanaman yang menelan belanja kira-kira RM30,000 itu antara usaha Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi meningkatkan taraf ekonomi masyarakat orang asli.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, tanaman terung akan menjadi projek perintis dalam usaha memberi pulangan pendapatan kepada masyarakat orang asli di kampung berkenaan.

Katanya, inisiatif itu adalah salah satu cara Jakoa mengurangkan konsep berpindah-randah dalam kalangan orang asli Bateq selepas tragedi kematian 15 penduduk akibat penyakit demam campak awal Mei lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!