Stigma negatif ‘hantui’ J-KOM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

BARU sahaja ‘sedikit sejuk’ cerita panas melibatkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Profesor Dr Mohd Agus Yusof dan pembantu beliau, Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani, sekali lagi agensi itu terpalit dengan kontroversi baharu.

Kali ini Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop mendakwa wujud Langkah Dubai ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Ismail mendedahkan gerakan menumbangkan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai itu melibatkan tokoh politik veteran berpengaruh.

Maka, beberapa nama menjadi sebutan dan pada masa sama ada yang tampil membuat penafian walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Langkah Dubai itu bukan rekaan.

Kontroversi Agus-Wahab dan Langkah Dubai adalah petaka yang sedikit sebanyak mencalarkan imej kerajaan serta Perdana Menteri.

Agensi yang ditubuhkan pada 1 Februari 2021 itu sepatutnya memainkan peranan mempromosi dan memberi penerangan mengenai dasar serta agenda kerajaan di mata rakyat jelas ‘tergelincir’ sehingga memercikkan rasa malu kepada kerajaan itu sendiri.

Namun demikian, semuanya sudah berlaku. Tiada pilihan lain selain menerimanya sebagai pengajaran dan teladan, sekali gus cabaran dalam mengemudi negara.

Justeru, saranan dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi agar J-KOM dirombak secara menyeluruh dilihat wajar bagi memulihkan imej agensi berkenaan yang merudum teruk dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut tampil menyatakan bahawa kerajaan memang bercadang merombak semula fungsi J-KOM dan idea itu sudah difikirkan sebelum ini.

Jika benar bagai dikata, rombakan tersebut haruslah memberi kesan positif kepada negara. Pilihkan mereka yang benar-benar layak, berpengalaman dan berkemampuan mengetuai J-KOM, yang lebih faham bagaimana mahu ‘menjual’ serta ‘memasarkan’ imej kerajaan.

Semoga J-KOM lebih mampu menyerlah dalam peranannya yang sebenar, bukannya menjadi alat propaganda kerajaan semata-mata.

Jika itu yang berlaku, rombak beribu kali pun tidak berguna jika fungsi, tugas, objektif dan matlamat asal terus menerus menyimpang.

Lebih baik bubarkan sahaja daripada menjadi bahan ketawa dan lawak jenaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!