Sabin 'turun padang' sejurus dilantik Datuk Bandar Kota Kinabalu
KOTA KINABALU - Sebaik saja dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah segera 'turun padang' melakukan pemantauan di sekitar Kota Kinabalu yang cukup terkenal menjadi lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Insiatif itu diambil bagi mendengar sendiri keluhan daripada penjaja yang menjadi penggerak nadi pusat bandar raya dengan menyajikan pelbagai hidangan terutama makanan laut kepada pengunjung di Kota Kinabalu.
Menurut Sabin, pemantauan itu adalah bagi mengenal pasti kemudahan yang boleh disediakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bukan sahaja kepada peniaga tetapi juga demi keselesaan pengunjung ke Kota Kinabalu.
"Ini termasuk dari segi kebersihan iaitu kebersihan dapur dan tandas berdekatan dengan kawasan penjajaan antara yang dilihat dalam lawatan hari ini.
"Kami melihatnya dari awal tahun supaya kami boleh membuat tindakan yang sewajarnya untuk memenuhi harapan warga di Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Anjung Senja, Pasar Malam Sinsuran dan Waterfront Segama di sini pada malam Khamis.
Mengulas lanjut, beliau sempat mendengar rintihan daripada peniaga termasuk membabitkan isu kekurangan bekalan air dan keselamatan.
"Antara rintihan yang didengar ialah masalah air yang tidak stabil, ada masanya air amat berkurangan pada waktu puncak.
"Jadi ada yang terpaksa bersengkang mata menunggu sehingga jam 3 pagi untuk kumpul air dari pili paip. Selain itu ada yang memaklumkan supaya lantai jubin digantikan pada yang jenis tidak licin jika ada air yang bertakung.
"Begitu juga dari segi isu keselamatan, mereka maklumkan berlaku kejadian kecurian di kawasan yang agak malap. Jadi pihak DBKK akan mengambil insiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan dengan meletakkan lampu yang lebih terang dan banyak," katanya.
Beliau dalam pada itu turut berpandangan isu kebersihan perlu ditambah baik namun pada masa sama perlu mendapat kerjasama daripada persatuan penjaja itu sendiri.
"Saya ada berjumpa dua persatuan tadi dan mereka memberikan kerjasama bukan saja pada masa sekarang tetapi juga pada masa dulu.
"Dari segi kebersihan, mungkin akan lebih banyak kemudahan seperti penyediaan tong sampah diperbanyakkan dan kekerapan untuk mengutip sampah di tong sampah serta isu kemudahan bekalan air," katanya.
Sebelum itu, Sabin yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu baharu, berkuat kuasa Selasa lalu.
Pelantikannya sebagai Datuk Bandar ketujuh itu adalah bagi menggantikan Datuk Noorliza Awang Alip yang memegang jawatan itu sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!