Mangsa banjir meningkat, 1,484 dipindahkan ke 13 PPS

Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan di sebuah kampung di Mersing yang dinaiki air sejak Khamis. - Foto: APM Johor
Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan di sebuah kampung di Mersing yang dinaiki air sejak Khamis. - Foto: APM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bilangan mangsa banjir di Johor terus bertambah dengan bilangan terkini seramai 1,484 orang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Jumaat.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, kesemua mangsa banjir berkenaan adalah daripada 385 keluarga dari empat buah daerah yang terjejas.

"Daerah terbabit adalah di Kota Tinggi, Johor Bahru, Kluang dan Mersing dengan jumlah mangsa banjir tertinggi di Kota Tinggi iaitu 723 orang daripada 180 keluarga di enam PPS.

"Ini diikuti di Johor Bahru seramai 420 mangsa daripada 111 keluarga dipindahkan ke empat buah PPS," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Seramai 271 mangsa banjir ditempatkan di dua PPS di Mersing yang dibuka sejak Khamis. - Foto: APM Johor
Seramai 271 mangsa banjir ditempatkan di dua PPS di Mersing yang dibuka sejak Khamis. - Foto: APM Johor

Beliau berkata, di Mersing pula seramai 271 mangsa (71 keluarga) ditempatkan di dua PPS dan di Kluang pula seramai 70 mangsa (23 keluarga) di tiga PPS.

Azmi yang, juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor berkata, dua jalan utama ditutup di Mersing kerana berisiko dan berbahaya untuk digunakan.

Beliau memberitahu, ini melibatkan jalan di Kampung Orang Asli Peta dan jalan masuk ke Tenggara Timur-Tanjung Leman yang ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan.

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba melakukan tinjauan keadaan banjir di bandar Kota Tinggi. - Foto: APM Johor
Anggota bomba melakukan tinjauan keadaan banjir di bandar Kota Tinggi. - Foto: APM Johor

"Sementara di Kota Tinggi, Jalan Kota Tinggi-Mersing diletak dalam keadaan berjaga-jaga kerana masih boleh dilalui tetapi semua pengguna jalan raya perlu berwaspada," ujarnya.

Bagi Jalan Permai pula yang turut dinaiki air, Azmi berkata, masih dibuka untuk satu lorong untuk kenderaan ringan manakala Jalan Kimlong hanya dibuka untuk satu laluan namun motosikal tidak digalakkan kerana arus deras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!