[VIDEO] 'Dikerah kerja lebih masa, pergerakan dikawal'
SUNGAI BULOH - Dikerah untuk bekerja dalam tempoh lama, tidak dibenar keluar selain pergerakan diawasi kamera litar tertutup (CCTV).
Itu nasib tiga pekerja asing bawah umur yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di sebuah kilang kitar semula barang elektronik di Kampung Baru Sungai Buloh dekat di sini, sebelum berjaya diselamatkan polis pada Khamis.
Operasi itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, Op Pintas Bersepadu itu dilaksanakan kira-kira jam 2.30 petang.
Menurutnya, semakan mendapati tiga pekerja lelaki itu ialah warga Myanmar berusia antara 13 hingga 17 tahun.
"Soal siasat awal mendapati mangsa menerima gaji sebanyak RM1,200 hingga RM1,300.
"Mangsa ini bekerja dalam tempoh waktu panjang bermula jam 9 pagi hingga 9 malam, selain tempat penginapan tidak kondusif, tidak dibenarkan keluar dari premis serta pergerakan dikawal CCTV," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, seorang lelaki warga India berusia 27 tahun berperanan sebagai penyelia kilang ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Soffian berkata, selain itu turut ditahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang juga pekerja kilang terbabit, terdiri daripada lima warga Bangladesh, India (3) dan Myanmar (2).
"Siasatan awal mendapati kilang ini telah beroperasi kira-kira setahun setengah dan kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Sungai Buloh untuk tindakan lanjut," ujarnya.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!