Jamu selera, mata di Cerita Pokok Nurseri dan Kafe
BUAT peminat pokok bunga atau tanaman hiasan, semestinya menjadi satu ‘kegilaan’ mengunjungi tapak nurseri untuk melihat tanaman baharu setiap minggu.
Selain mencuci mata dan menambah koleksi di rumah, ia juga sebenarnya menjadi terapi diri apabila dikelilingi pokok menghijau.
Suasana tenang dan mendamaikan tambah mengujakan apabila nurseri dikunjungi turut menyediakan juadah seperti di Cerita Pokok Nurseri dan Kafe yang terletak di Batu 6, Jalan Jelebu, Seremban, Negeri Sembilan.
Lokasinya yang jauh daripada hiruk pikuk bandar memberi peluang kepada pengunjung menikmati juadah dalam suasana damai.
Mula beroperasi pada September tahun lalu, kafe nurseri diusahakan Rina Emi Ibrahim, 48, dan suami, Abd Latif Mohd Nor, 63, dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari kecuali Jumaat.
Menurut Rina, nurseri tersebut diambil alih daripada pemilik asal pada Ogos 2022 yang sudah mengusahakannya sejak 10 tahun lalu.
“Ketika mula ambil alih, saya tak terfikir pun nak buat kafe tapi memandangkan lokasi ini agak luas, selain mahu memberi keseronokan kepada pelanggan yang datang, timbul idea membuka kafe.
“Sambil belek pokok, boleh makan sekali. Lagi pun suasana duduk bersantai di sebalik rimbunan dedaun menghijau sangat menenangkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibu kepada lima anak itu berkata, terdapat 11 menu sarapan pagi disediakan dan paling istimewa ialah nasi lemak ayam saute cendawan.
Lebih menarik lagi, cendawan tiram yang digunakan adalah segar kerana dipetik setiap hari di nurserinya.
“Menu ini antara yang paling mendapat sambutan ramai kerana ia lain daripada yang lain.
“Sebenarnya nasi lemak cendawan ini lebih mengenyangkan tetapi bagi yang tak suka cendawan, jangan risau kerana kami juga sediakan nasi lemak biasa,” katanya.
Tambahnya, selain menu tersebut, mi kari dan roti jala resipi sendiri juga menjadi pilihan pelanggan.
Selain itu katanya, dia mempunyai perancangan membuka kafe sama ada untuk minum petang atau malam sekiranya ada permintaan daripada pelanggan.
“Saya mahu berkongsi ketenangan di nurseri dengan lebih ramai pelanggan memandangkan waktu pagi agak terhad terutama bagi yang bekerja.
“Lagi pun saya nak orang datang ke nurseri saya ini untuk ‘rehat-rehat’ sahaja. Mereka boleh ambil masa duduk minum atau makan sebelum membeli pokok diidamkan.
“Terdapat lebih 500 jenis pokok bunga, buah-buahan dan herba dijual di nurseri ini bermula pada harga serendah RM5,” katanya.
Bercerita mengenai cendawannya pula, Rina berkata, ia turut dijual kepada peniaga atau pemborong di pasar dan pada masa sama membuka peluang kepada sesiapa yang berminat mengikuti kursus tanaman cendawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!