Banjir: Dua jalan di Mersing ditutup kepada semua kenderaan
MERSING - Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Tenggaroh Timur-Tanjung Leman dekat sini ditutup kepada semua kenderaan susulan dinaiki air banjir setinggi 0.15 meter.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, bagaimanapun pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif untuk ke Kampung Orang Asli Peta dengan melalui Ladang Mutiara-Paloh.
"Polis meminta orang ramai supaya mematuhi nasihat pihak berkuasa termasuk berkaitan penutupan jalan bagi mengelak insiden tidak diingini seperti dihanyutkan arus.
"Selain itu, boleh dapatkan maklumat terkini dengan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah atau pun Polis Diraja Malaysia, " katanya ketika dihubungi malam tadi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Azmi Rohani memaklumkan di Kota Tinggi, Jalan Sri Perani hanya dibuka satu lorong bagi kenderaan ringan berikutan dinaiki air hingga 0.3 meter.
"Jalan Kimlong yang dinaiki air hingga paras 0.2 meter pula tidak digalakkan untuk dilalui oleh motosikal kerana arus deras dan hanya satu laluan dibuka, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat jam 8 pagi ini, sebanyak 1,484 orang daripada 385 keluarga direkodkan terjejas banjir melibatkan daerah Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru dan Mersing dengan 13 pusat pemindahan sementara dibuka sejak semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!