KPM perluas program pendidikan khas untuk MBK
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan 1,109 kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) baharu kepada kira-kira 7,591 Murid Berkeperluan Khas (MBK) di seluruh negara tahun ini.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, jumlah itu membabitkan 421 PPKI seluruh negara yang bakal menjadi akses kepada pendidikan lebih mudah dan berhampiran dengan kawasan tempat tinggal MBK.
Menurutnya, peluasan perlaksanaan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM54 juta.
"PPKI memberi kemudahan kepada kanak-kanak berkeperluan khas supaya mereka mendapat akses pendidikan yang lebih baik.
"KPM telah memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi menyelenggara 320 sekolah lagi tahun ini.
"Jumlah enrolmen juga telah meningkat seiring dengan pembangunan infrastruktur bagi MBK," katanya pada sidang media sempena lawatan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jumlah MBK mendaftar di sekolah yang menawarkan pendidikan khas menunjukkan peningkatan seramai 4,821 murid tahun lalu iaitu 88,419 orang berbanding 83,598 pada 2018.
Katanya, pertambahan tersebut menunjukkan peningkatan positif terhadap Dasar Sifar Penolakan (Zero Reject Policy) yang dilaksanakan oleh KPM khusus untuk golongan kurang upaya.
"Selain itu, 75 sekolah telah mengambil langkah positif dengan membuka PPKI baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang menawarkan PPKI dari peringkat prasekolah ke peringkat menengah di Malaysia sebanyak 2,418 sekolah," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai program pertukaran guru 'suka sama suka' yang menjadi antara lima perancangan terbesar KPM bagi 2020, Maszlee berkata, pihaknya akan memastikan perkara itu akan dilaksanakan dengan lebih tersusun melalui aplikasi atas talian.
"Ia lebih berdasarkan kepada sistem digital. KPM akan memastikan ia akan dijalankan dengan jayanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!