Padah guna pasport, pas lawatan kerja palsu
KUANTAN - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pahang selepas dikesan menggunakan pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, di sini Rabu lalu.
Lelaki berusia 38 tahun itu mengaku menggunakan dokumen palsu yang didakwa dibelinya dengan harga RM3,500 dua tahun lalu.
Pengarah Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, suspek ditahan hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Jaya Gading, di sini.
Menurutnya, dalam serbuan itu, isteri dan abang iparnya yang juga warga negara sama turut ditahan.
"Dalam operasi kira-kira 12 jam bermula jam 4.20 petang itu, seramai 65 warga asing telah diperiksa menerusi serbuan Op Sapu, Op Minyak dan Op Kutip di lokasi berasingan.
"Hasil pemeriksaan dilakukan, 47 warga asing ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.
Muhammad Hatta berkata, warga asing berusia 16 hingga 51 tahun yang ditahan terdiri 28 warganegara Bangladesh, Indonesia (11), Myanmar (5) dan Pakistan (3) berusia antara 16 tahun sehingga 51 tahun.
Jelas beliau, antara kawasan diserbu membabitkan tapak karnival, stesen minyak, pusat cuci kenderaan, rumah pekerja ladang dan kawasan kediaman.
"Kesemua suspek melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen atau pas yang sah, tinggal lebih masa dan menggunakan pas palsu.
"Kesemua suspek dibawa dan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Kemayan, Bera untuk siasatan lanjut," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!