Gangguan air: Gerakan minta pertimbang tangguh sesi persekolahan

Gerakan meminta agar sesi persekolahan ditangguhkan susulan gangguan bekalan air di hampir seluruh negeri ini pada minggu depan.
Gerakan meminta agar sesi persekolahan ditangguhkan susulan gangguan bekalan air di hampir seluruh negeri ini pada minggu depan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meminta agar sesi persekolahan ditangguhkan susulan gangguan bekalan air di hampir seluruh negeri ini pada minggu depan.

Naib presidennya, Datuk Baljit Singh berkata, kerajaan negeri perlu mempertimbangkan perkara tersebut sepanjang gangguan bermula dari 10 hingga 14 Januari nanti.

"Merujuk kepada notis Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berhubung gangguan air nanti, saya berharap kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menangguhkan sesi persekolahan sepanjang tempoh itu agar pelajar sekolah tidak mengalami kesukaran.

"Ini adalah kerana air merupakan keperluan asas untuk rakyat Malaysia.

"Oleh itu, masalah gangguan air ini memberi kesan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang terutamanya pelajar untuk ke sekolah.

"Sekurang-kurangnya pihak sekolah tidak menjalankan kelas pendidikan jasmani, sukan atau persatuan pada masa tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 Januari ini bagi membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.

Artikel Berkaitan:

Tambah Baljit, pihak kerajaan dan pembangkang sepatutnya berganding bahu untuk meringankan beban rakyat pada tempoh tersebut.

"Hampir seluruh kawasan terjejas dan sepatutnya kerajaan dan pembangkang berganding bahu bagi memastikan mereka yang terkesan mendapat bantuan bekalan air yang diperlukan.

"Kerajaan negeri dan PBAPP juga perlu memastikan semua paip yang usang digantikan secepat mungkin agar tiada lagi gangguan bekalan air pada masa akan datang," katanya.

Beliau menambah, rakyat Pulau Pinang berharap kerajaan negeri dan pihak pembangkang bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya mencari alasan untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab dan hanya berpolitik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!