Kaya di dunia, akhirat belum pasti
Elak jadi muflis di negeri abadi
KAYA di dunia, tetapi belum tentu kehidupan sama dirasai di alam akhirat nanti. Tiada siapa yang dapat mengetahui nasib diri di negeri abadi kelak.
Apa yang perlu dilakukan kini, hanyalah beramal dan terus melakukan kebaikan tanpa jemu.
Mengertilah, dunia ialah ladang untuk kita bercucuk tanam, manakala akhirat pula merupakan negeri untuk kita menuai hasilnya.
Begitulah perumpamaan kehidupan orang beriman sebagaimana yang dijelaskan menerusi khutbah Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Mimbar begitu menekankan betapa pentingnya untuk kita memperoleh kehidupan bukan sahaja baik di dunia, tetapi juga di akhirat yang kekal buat selamanya.
Caranya adalah dengan mencari sebanyak mungkin bekalan pahala sepanjang hayat kita di dunia.
“Orang yang tertutup hatinya daripada petunjuk ALLAH, mereka akan tenggelam dalam keseronokan dunia dan dibangkitkan pada hari kiamat seperti orang yang buta,” katanya.
Ia sebagaimana disebut jelas dalam firman ALLAH SWT: “Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatanku, maka dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkan pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Taha, ayat 124)
Buta di akhirat
Menjelaskan maksud ‘buta’, para ulama mengatakan, mereka yang dikatakan sedemikian itu ialah kelompok yang dikaburkan penglihatan masing-masing kecuali hanya neraka jahanam yang berada di hadapan mereka.
“Mereka akan meraba-raba seperti keadaan orang yang dalam kesesatan. Bahkan, golongan itu hairan dengan keadaan diri masing-masing pada waktu itu kerana ketika di dunia dahulu, mereka dapat melihat seperti orang lain," katanya sebagaimana dipetik daripada teks khutbah Jumaat menerusi portal rasmi e-khutbah Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Lalu, golongan itu bertanya kepada ALLAH SWT mengapa mereka dihimpunkan dalam keadaan buta, walhal dulu celik.
Dalam ayat 124, Surah Taha, ALLAH SWT berfirman: "Demikianlah, telah datang kepadamu bukti keadaan keterangan kami, lalu kamu melupakannya, dan begitu pada hari ini kamu berada dalam keadaan dilupakan."
Begitulah keadaan digambarkan oleh al-Quran tentang perihal orang yang lalai ketika di dunia.
Sedarlah, segala amalan kita ketika di dunia akan dibentang dan diperlihatkan pada alam akhirat nanti. Tiada sesiapa pun yang akan terlepas melaluinya.
"Saat itu, kita akan melihat segala amalan dan perbuatan sendiri semasa hidup. Ada yang diberi ganjaran pahala, tidak kurang juga yang dihitung sebagai dosa.
"Bahkan, mereka yang memikul dosa banyak akan merasa takut dengan keadaan diri masing-masing," katanya.
Paling digeruni apabila terdapat di antara kita yang hidup kaya ketika di dunia, tetapi menjadi miskin ketika di akhirat.
"Dalam erti kata lain, mereka banyak melakukan amalan kebaikan semasa hidup, tetapi saat akhirat menjengah, mereka tergolong dalam golongan miskin ataupun muflis.
"Bagaimana ia berlaku? Jawapannya adalah kerana semasa hayatnya di dunia, mereka banyak melakukan kezaliman terhadap orang lain dan memikul banyak dosa sesama manusia. Individu inilah orang yang muflis di akhirat," jelasnya.
Hati-hati dalam tindakanDalam sebuah hadis masyhur riwayat Imam Muslim, Rasulullah SAW memperincikan orang muflis ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun pada masa sama, dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh orang lain, memakan harta milik orang, membunuh nyawa (yang tidak berdosa) dan menyakiti orang lain.
"Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak orang yang pernah dizalimi itu belum dapat dipenuhinya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah pun habis, maka kesalahan-kesalahan orang yang dizalimi itu pula diambil lalu dipikulkan ke atasnya, kemudian dilemparkan ke dalam api neraka," katanya.
Sempena Tahun Baharu 2024 yang baru sahaja membuka tirainya Isnin lalu, masih ada kesempatan buat kita untuk merenung kembali perihal kehidupan masing-masing khususnya melibatkan hal pergaulan seharian bersama dengan insan di sekeliling.
Benar, kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan sama ada dalam keadaan disengajakan ataupun tidak.
"Ingatlah, dosa lidah yang sering kita lakukan itu boleh menjadi pintu mudah untuk menjerumuskan kita menjadi orang yang muflis di akhirat.
"Andai tidak berhati-hati dalam segala percakapan, tingkah laku dan perbuatan, nescaya kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh hak berkaitan maruah diri dan harta benda orang lain," katanya.
Kepada mereka yang melakukan dosa berkaitan hak sesama manusia, kembalikanlah semula hak kepada yang berhak dan mohonlah kemaafan daripada individu berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!