Jenazah wartawan Fiza Kamarudin tiba esok
JENAZAH wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza Kamarudin atau Fiza Kamarudin, 40, yang meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi Sabtu.
Menurut suami Allahyarham, Mohd Roshdi, mereka akan bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London dengan penerbangan MH0003 pada jam 10.25 pagi waktu tempatan (6.25 petang waktu Malaysia), hari ini.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Kg. Baru sejurus selesai urusan di KLIA untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kl-Karak,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Allahyarham Fiza disahkan menghembuskan nafas terakhir pada 28 Disember lalu akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, jam 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia).
Allahyarham sepatutnya pulang ke Malaysia bersama suami dan dua anak mereka pada 27 Disember tetapi rebah di lapangan terbang ketika menunggu penerbangan.
Fiza yang juga editor portal milik KRU Media berada di London bagi menunaikan janji membawa dua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8, bercuti selepas memenangi pakej percutian ke lokasi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!