Jemaah asnaf tajaan Andalusia dapat layanan istimewa di Tanah Suci

Peserta umrah pada program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 anjuran Andalusia bergambar berlatar belakang Jabal Rahmah di Makkah yang diketuai oleh mutawif, Ustaz Mohammad Ihsan Mohd Raslan.
Peserta umrah pada program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 anjuran Andalusia bergambar berlatar belakang Jabal Rahmah di Makkah yang diketuai oleh mutawif, Ustaz Mohammad Ihsan Mohd Raslan.
A
A
A

MAKKAH - Semua 114 asnaf yang ditaja oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) untuk menunaikan ibadah umrah di sini menerima layanan yang istimewa sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurut Pelayan Tetamu Allah (PTA) di Makkah dan Madinah yang juga Pegawai Andalusia, Aishah Md Daha, golongan tersebut dijaga khusus oleh mutawif dan kakitangan serta pengiring yang berpengalaman.

“Di samping dibantu oleh kakitangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), golongan asnaf terpilih ini dibimbing oleh mutawif berpengalaman yang akan menjaga mereka dengan baik sejak dari Malaysia lagi.

“Mereka bukan sahaja uruskan soal kesihatan, malah perkara berkaitan dengan ibadah termasuk makan serta minum dan ini menjadi tanggungjawab mutawif daripada Andalusia,” katanya kepada pemberita.

Program Umrah Asnaf Jelajah Kasih 5.0 hasil kerjasama Andalusia dan kerajaan Negeri Sembilan itu merupakan program tanggungjawab korporat syarikat itu untuk memberikan peluang kepada golongan asnaf menunaikan ibadat umrah buat kali pertama.

Ia membabitkan 77 asnaf dari Negeri Sembilan, turut disertai tujuh asnaf Sabah, 15 asnaf Kelantan, 10 asnaf dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), dua Melaka dan empat dari Rembau.

Asnaf terpilih itu turut dibawa untuk menziarahi lokasi-lokasi penting mengenai sejarah pengembangan Islam dan peristiwa penting melibatkan Nabi Muhammad di Makkah termasuk Madinah.

Artikel Berkaitan:

Aishah
Aishah

Dalam pada itu, Aishah berkata, Andalusia amat mengambil berat tentang golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk menjalani ibadah tersebut.

“Jadi kita doakan lah agar Andalusia lebih berjaya dan maju pada masa depan agar lebih ramai lagi yang dapat dibantu dan ditolong,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap, asnaf yang mendapat peluang tersebut untuk terus istiqamah dan meneruskan amal ibadat mereka selepas kembali ke tanah air.

“Apa yang kita harapkan agar asnaf yang rajin ke Masjidil Haram setiap hari dan ini akan diteruskan untuk imarahkan masjid di Malaysia serta terus mengikuti kelas-kelas pengajian dan terus beramal ibadah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aishah berkata, beliau juga bertanggungjawab untuk membantu tentang persoalan hukum dalam beribadat terutama jemaah wanita yang berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Banyak masalah melibatkan jemaah wanita dan lebih mudah untuk mereka tanya wanita sendiri mengenai persoalan-persoalan yang sulit.

“Jadi, saya selalu nasihatkan jemaah supaya muhasabah dan post mortem ibadah supaya mana yang kurang sempurna untuk kita sempurnakan sebelum balik Malaysia supaya tidak kita rasa puas hati dan mendapat umrah yang makbul,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!