Agong berkenan berangkat melawat galeri padi
SABAK BERNAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Galeri Padi dan Pusat Jualan Beras di kilang beras, PLS Marketing (M) Sdn Bhd (PLS Marketing) di Jalan Tali Air 5, Ban 2 Sekinchan di sini pada Jumaat.
Ketibaan Seri Paduka Baginda kira-kira jam 10 pagi itu diiringi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Turut mengiringi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.
Pada program itu, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melawat Muzium Padi Sekinchan dimiliki PLS Marketing.
Seri Paduka Baginda berkenan mendengar sembah taklimat berhubung proses penamaan padi di Sekinchan disampaikan Pengarah Urusan PLS Marketing, Allen Lim sebelum dibawa ke pusat jualan produk beras.
Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memandu jentera menanam padi dan jentuai dengan dibantu jurupandu.
Seri Paduka kemudiannya turut berkenan melawat bangunan baharu enam tingkat milik PLS Marketing bersebelahan muzium padi.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan berangkat ke aras enam bagi melihat sendiri pemandangan sawah padi.
Seri Paduka Baginda juga berkenan mewakili kerajaan Pahang menerima sumbangan beras sebanyak 10 tan metrik untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri itu.
Baginda juga sempat bergambar dan mengakhiri lawatan baginda kira-kira jam 11.15 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!