Jumlah mangsa banjir di Johor rekod sedikit peningkatan - Nadma
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan sedikit peningkatan kepada 1,485 orang di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari ini, berbanding 1,481 orang 6 pagi tadi.
Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), 13 PPS dibuka itu ialah empat di Johor Bahru dengan menempatkan 420 orang, enam PPS di Kota Tinggi (720 orang), dua PPS di Mersing (271 orang) dan sebuah di Kluang (70 orang).
Menurut Nadma, status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Endau, Kluang yang merekodkan 14.8 meter dengan trend meningkat dan Sungai Arau, Perlis (24.03m dengan trend menurun) setakat tengah hari ini.
Laporan itu juga menyatakan terdapat 23 jalan ditutup susulan bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh serta akibat tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya ialah Jalan Tanjung Sedeli di Kota Tinggi dan Jalan Padang Tembak di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sam Ke Dabong di Jeli, Kelantan; Jalan Temerloh-Jerantut di Temerloh, Pahang; Jalan Serengkam di Maran, Pahang dan Trolak Selatan di Batang Padang, Perak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!