Gangguan air di Besut: Agihan bekalan dibuat terus ke rumah

Ismail (kanan) menyediakan tong air di depan rumah bagi membantu
Penduduk yang terjejas akibat kebocoran paip
Ismail (kanan) menyediakan tong air di depan rumah bagi membantu Penduduk yang terjejas akibat kebocoran paip
A
A
A

BESUT - Penduduk yang terjejas akibat kebocoran paip yang berlaku di dasar Sungai Besut dekat Jambatan Kampung Lampu diminta menyediakan tong air di depan rumah masing-masing.

Pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia, Ismail Ab Rahman berkata, ia bagi memudahkan proses pengagihan air dilakukan secara terus ke rumah penduduk terbabit.

Menurutnya, inisiatif tersebut bagi membantu penduduk yang terjejas selain memudahkan mereka mendapatkan bekalan air daripada tangki statik yang diletakkan oleh pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).

"Usaha ini memudahkan golongan kurang berkemampuan terutama warga emas yang berhalangan bagi mendapatkan bekalan air.

"Jadi menerusi kaedah pengagihan air dilakukan terus ke rumah dapat membantu meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Dataran Limbongan dekat sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, lebih 80 sukarelawan ditugas secara bergilir-gilir mengikut tiga shif yang ditetapkan bagi melakukan kerja-kerja pengagihan air tersebut.

"Sukarelawan terlibat akan membantu mengambil air dari jentera 'water tanker'," katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Dataran Limbongan, Dewan Undangan Negeri Kota Putera sebelum dihantar ke tangki statik selain kawasan rumah penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini terdapat 20 pacuan empat roda yang digunakan secara bergilir dan setiap kenderaan dilengkapi dengan tangki serta pam air," ujarnya.

Katanya, antara lokasi yang dihantar adalah sekitar kawasan Limbongan, Demong, Air Tawar, Pengkalan Nyireh selain beberapa lagi kawasan yang terjejas.

Sementara itu, seorang penduduk, Tuan Rosli Tuan Yusof, 53, meluahkan rasa lega kerana inisiatif tersebut dapat membantu penduduk yang terkesan akibat kebocoran paip yang berlaku.

"Penduduk setempat yang terjejas ini menghadapi kesukaran kerana terpaksa berdepan masalah tersebut pada tempoh yang lama.

"Ada yang bekerja tidak mempunyai masa nak mengangkut air berulang kali... jadi dengan kaedah ini kami yang keluar bekerja hanya perlu menyediakan tong kosong di depan rumah.

"Kami tidak lagi perlu bergegas untuk mendapatkan bekalan air di tangki statik sebaik pulang bekerja," ulasnya.

Pada Rabu, sebanyak 120,000 liter air diagihkan setiap hari ke kawasan terlibat gangguan bekalan air akibat masalah kebocoran paip yang berlaku di dasar sungai Besut dekat Jambatan Kampung Lampu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, usaha itu dilakukan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai inisiatif membantu penduduk yang terjejas.

Sebelum ini, SATU dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan kebocoran paip dasar sungai bersaiz 600mm yang berlaku menyebabkan gangguan bekalan air yang berlaku di 11 kampung.

Menurutnya, sebanyak 2,670 akaun pengguna dijangka mengalami gangguan bekalan air sehingga 21 Januari depan dan kerja baik pulih giat dijalankan oleh kontraktor dilantik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!