Najib bincang usahasama dengan kerabat Arab Saudi tanpa saluran formal
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin berkata, perjumpaan di antara Putera Turki (yang dikatakan kerabat Arab Saudi) dan Pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid dengan Najib dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low ketika percutian itu mengesahkan ia telah menjadi penanda aras kononnya berlaku perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang dicanang oleh Najib hingga ke hari ini.
"Perbincangan tersebut juga tidak melibatkan pegawai tinggi kerajaan sedangkan kerajaan terpaksa menanggung pinjaman dana dengan pengeluaran jaminan penuh.
"Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu sepatutnya tahu bahawa perbincangan usahasama G2G aras tertinggi seperti ini memerlukan saluran diplomatik yang sah dan bukannya berpunca daripada perbincangan tidak formal di atas kapal persiaran sahaja," katanya.
Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 95 muka surat semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mustaffa P Kunyalam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.
Dalam pada itu, Nur Aida berkata, pelantikan Edward L. Morse sebagai penilai aset PSI diragukan kerana laporan Penilaian Aset PSI disediakan hanya dalam masa lapan hari sahaja sedangkan nilai aset yang dinilai adalah sangat besar iaitu antara AS$2.7 bilion dan AS$4.5 bilion.
"Malahan, Datuk Seri Najib telah mengarahkan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) untuk tidak membuat penilaian ke atas aset PSI dengan alasan ingin menjaga nama baik bilateral Malaysia dan Arab Saudi dari segi politik dan reputasi.
"Datuk Seri Najib telah menggunakan Jho Low dan Datuk Shahrol Azral untuk memaksa ahli lembaga pengarah 1MDB melalui bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Bakke Salleh supaya mengikut arahan dan juga saranan mereka dalam beberapa tindakan dan keputusan berkaitan dengan usahasama dengan PSI," katanya.
Tambah Nur Aida, alasan yang selalu diberikan Najib adalah menjaga hubungan G2G yang dijalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi dan ini menyebabkan banyak keputusan dan kelulusan yang dibuat tidak menyebelahi 1MDB dan kerajaan.
Mahkamah sebelum ini diberitahu kerjasama 1MDB-PSI menyebabkan 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai, bagaimanapun, daripada jumlah itu AS$700 juta dilencongkan ke dalam syarikat Good Star Ltd iaitu syarikat yang dimiliki oleh Jho Low.
Pada perbicaraan 1MDB sebelum ini, Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata, projek usahasama di antara 1MDB dan PSI tercetus dan dibincangkan semasa Najib bercuti di selatan Perancis di atas sebuah kapal layar bersama Putera Turki pada Ogos 2009.
Pada Mei 2022 pula, bekas Pegawai Khas Najib Datuk Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail (saksi pendakwaan ke-16) memberitahu mahkamah pada hari kedua atau ketiga pelayaran percutian Najib dan keluarga, Najib memaklumkan kepadanya bahawa seorang Putera Saudi iaitu Putera Turki berada di sebuah kapal lain yang berdekatan dan beliau menjemput Najib sekeluarga untuk minum petang di atas kapal mereka.
Katanya, rombongan itu disambut oleh Putera Turki dan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Tarek Obaid.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 8 Januari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!