Rasuah RM6 juta: Empat termasuk CEO persatuan bola sepak direman
ALOR SETAR - Empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di utara tanah air ditahan reman selama tiga hari bermula Jumaat sehingga 7 Januari depan.
Kesemua mereka disyaki meminta serta menerima wang rasuah bernilai lebih RM6 juta.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar pada Jumaat.
Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan sekitar jam 5 hingga 6.30 petang pada Khamis ketika hadir di Pejabat SPRM Kedah bagi rakaman keterangan.
"Berdasarkan siasatan dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.
"Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!