KBS sedia skrin besar tonton Piala Asia
KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan menyediakan dua skrin besar di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membolehkan penyokong menyaksikan aksi skuad negara pada Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, skrin besar itu akan menayangkan ketiga-tiga perlawanan membabitkan skuad negara.
"KBS akan menyediakan fasiliti skrin besar untuk ketiga-tiga perlawanan Harimau Malaya nanti. Kita akan buka Stadium Nasional Bukit Jalil kepada semua penyokong Harimau Malaya.
"Pastikan anda datang untuk menyokong pasukan Harimau Malaya," katanya.
Skuad negara akan membuka tirai Piala Asia menentang pasukan Jordan pada 15 Januari sebelum bertemu Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan (23) lima hari kemudian.
Dalam pada itu, Hannah turut mendoakan kejayaan Harimau Malaya selain mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pengendali, Kim Pan-gon yang berjaya mara ke saingan terbesar Asia itu.
"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya di Qatar sekarang. Penantian lebih 40 tahun ini merupakan satu prestasi yang membanggakan rakyat Malaysia.
"Ingat bila anda masuk padang nanti, jika anda fikirkan anda boleh, anda pasti boleh melakukan yang terbaik. Saya juga mengucapkan tahniah kepada FAM dan Pan-gon atas usaha anda membatu pasukan Harimau Malaya melangkah sejauh ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!