Industri penerbangan dijangka catat pertumbuhan lebih baik pada 2024
SEPANG - Industri penerbangan Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh tahun ini, disokong oleh inisiatif berterusan kerajaan untuk meningkatkan sektor tersebut, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, jangkaan peningkatan perjalanan domestik dan juga antarabangsa itu adalah hasil daripada langkah strategik kerajaan terutamanya kelonggaran keperluan visa bagi pelancong China dan India, yang akan menyokong sektor tersebut.
"Melangkah ke 2024, kita menjangkakan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam sektor penerbangan kerana bukan sahaja sektor domestik akan terus berkembang maju, tetapi kita juga menjangkakan perjalanan antarabangsa yang tinggi.
"Ini susulan langkah kerajaan, terutamanya dalam melonggarkan keperluan visa untuk pelancong warga China dan India," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman tawaran tambang rendah tetap AirAsia untuk perjalanan sempena Tahun Baharu Cina, di sini, pada Jumaat.
Anthony berkata, peningkatan ketara kemasukan pelancong bukan hanya dari pasaran utama seperti China dan India, tetapi juga dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Beliau menjelaskan peningkatan perjalanan antara negara Asia ini sebagai perkara biasa, menjalin hubungan yang lebih baik antara negara di rantau ini, dengan Malaysia memiliki kelebihan.
Walaupun mengakui akan kepentingan China dan India sebagai pasaran penting, beliau turut menyedari peningkatan perjalanan dan permintaan besar dari Korea Selatan dan Jepun, dengan Sabah dilihat sebagai sebagai destinasi kegemaran dalam kalangan pengembara Korea.
Sementara itu Anthony berkata, dengan tumpuan meluas AirAsia terhadap pasaran Asia dan ketersambungan antara bandar sejak dua dekad lalu, kerajaan berhasrat untuk mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya Indonesia yang dikenal pasti sebagai pasaran utama untuk pembangunan selanjutnya.
Selain itu, beliau juga menekankan keperluan untuk menangani cabaran semasa termasuk isu aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan menambah baik kemudahan di semua lapangan terbang utama di Malaysia.
"Di peringkat kementerian, usaha bersepadu sedang dilakukan untuk menangani cabaran ini bagi memastikan keseluruhan ekosistem penerbangan dilengkapi dengan baik untuk menyokong pertumbuhan," katanya.
Menjangkakan kemuncak ketibaan pelancong pada 2026, beliau berkata, langkah persediaan perlu dibuat untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan sektor tersebut dengan menangani halangan operasi secara proaktif dan kerjasama merentas kementerian untuk mengukuhkan sektor penerbangan Malaysia.
Bersempena Tahun Baharu Cina, AirAsia menawarkan harga tambang rendah tetap untuk penerbangan lewat malam antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, menjadikan perjalanan lebih mampu milik untuk keluarga.
Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri, Sibu, Kuching, dan Bintulu, serta Johor Bahru ke Sibu, Miri, dan Kuching, berharga RM298 sehala.
Sementara itu, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau, dan antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu, berharga RM348 sehala, bagi perjalanan dari 5 Januari hingga 15 Februari 2024.
Sebagai menyokong inisiatif musim perayaan kerajaan, AirAsia menawarkan 134 penerbangan lewat malam pada tambang rendah tetap ke tujuh destinasi popular di Sabah dan Sarawak, di samping 408 penerbangan mingguan dengan tambang tetap ke Sabah, Sarawak dan Labuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!