Dugaan banjir, calon SPM tetap semangat ulang kaji di PPS
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Biarpun terpaksa belajar dan mengulang kaji di pusat pemindahan sementara (PPS), namun keadaan itu tidak melunturkan semangat empat sekawan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai untuk melakukan persiapan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023/24, Isnin ini.
Tinjauan Sinar Harian di PPS Dewan Cahaya Baru, di sini mendapati keempat-empat pelajar Tingkatan Lima iaitu Nur Syahirah Azrin, 17; Muhammad Aidil Haqimi, 17, dan pasangan kembar, Nursuhada serta Nur Wahida Roslim, 17, masing-masing melakukan ulang kaji bersama-sama di PPS berkenaan.
Menurut Nur Syahirah, kehadiran rakan-rakan senasibnya di PPS tersebut menyebabkan dia patah semangat menghadapi SPM kali ini.
"Walaupun rumah saya dinaiki air banjir, namun saya tetap bersemangat untuk hadapi SPM sebabnya saya boleh belajar di sini bersama rakan-rakan yang ada," katanya.
Berbeza pula dengan Muhammad Aidil Haqimi, dia memberitahu berasa agak sedih kerana terpaksa berpindah ke PPS selepas rumahnya dinaiki air banjir.
Bagaimanapun katanya, keadaan tersebut berubah selepas mendapati ada rakan-rakannya turut mengalami keadaan sepertinya dan ditempatkan di PPS sama.
Sementara itu bagi pasangan kembar, Nursuhada dan Nur Wahida berkata, berpindah ke PPS tidak sesekali menjejaskan fokus mereka kerana selain boleh mengulang kaji bersama rakan-rakan senasib, mereka juga boleh melakukannya secara dalam talian.
Pada Jumaat, jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan sedikit peningkatan kepada 1,485 orang di 13 PPS setakat jam 12 tengah hari, berbanding 1,481 orang 6 pagi tadi.
Sinar Harian turut melaporkan, persiapan lebih rapi dilaksanakan di semua daerah di Johor bagi memastikan calon-calon peperiksaan SPM yang terjejas akibat banjir dapat menduduki peperiksaan itu dengan lancar.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, persiapan menghadapi banjir dibuat sejak November lalu.
Peperiksaan bertulis SPM 2023 melibatkan seramai 395,870 bermula 30 Januari hingga 7 Mac ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia berkata, ujian bertutur bahasa Melayu akan bermula 8 hingga 11 Januari manakala bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari.
Tetap bertugas walaupun jadi mangsa banjir
Sementara itu, seorang Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam, Nur Ain Abdul Aziz, 33, tetap menjalankan tugas diamanahkan walaupun menjadi salah seorang mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Cahaya Baru di sini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, banjir di luar dugaan di Kampung Sentosa Damai menyebabkan ramai penduduk termasuk dirinya terpaksa berpindah ke PPS tersebut.
Nur Ain berkata, beliau diamanahkan menjaga keselamatan mangsa-mangsa di PPS berkenaan yang dibuka pada Khamis.
Mengulas lanjut, Nur Ain turut memberitahu bahawa menjadi anggota sukarelawan APM, banyak kelebihan bakal dinikmati oleh golongan berkenaan.
"Banyak sebenarnya manfaatnya menyertai APM, antaranya lebih banyak ilmu boleh dipelajari dan kita boleh membantu orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!