'Reset' 3U, jadikan al-Quran sebagai panduan
SHAH ALAM - Nilai adab dalam kalangan umat Islam yang semakin terhakis memerlukan perubahan besar oleh kumpulan 3U iaitu ummah, umara dan ulama dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tindakan itu wajib dilakukan setiap lapisan masyarakat agar berlaku kesatuan, transformasi sosial dan penambahbaikan yang berterusan.
“Keadaan semakin parah, sekarang ini kita lihat di sosial media sudah tidak ada sempadan hormat antara tiga peringkat itu (3U) dan bila sudah berlaku, ia dianggap sebagai tragedi ummah.
“Kita perlu ambil semangat Jumaat ini untuk kembali kepada asas dengan mencari semula nilai yang ada dalam al-Quran dan ‘reset’ diri kerana kita sudah terlalu jauh tersasar,” katanya dalam program bual bicara membawa Sinar Al-Jumu’ah bertajuk ‘Jumaat kita lesu?’ yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital Quran Hour pada Jumaat.
Turut hadir, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Shamsul Hakim Abdul Samad; qari, Faris Hadi Taufik dan Fazrul Ismail bertindak sebagai hos.
Menurut Hussamuddin, mengikut bahasa teknologi, Jumaat merupakan hari untuk cas semula semula rohani dalam jiwa setiap insan menerusi penyampaian khutbah.
Bagaimanapun ujarnya, mesej yang disampaikan melalui kaedah itu dilihat tidak berjaya memberi kesedaran dan peringatan kepada ummah disebabkan oleh beberapa faktor.
“Khutbah dilihat tak berjaya untuk cas semula ummah, mungkin cara khutbah itu dibaca bukan disampaikan.
"Sepatutnya, menerusi penyampaian khutbah ia sudah mampu menjentik hati ummah untuk melakukan kebaikan.
“Namun, kenapa semakin teruk? Sebab khutbah tak masuk dalam hati dan ekonomi orang Islam juga semakin lemah.
"Justeru, semua pihak (3U) perlu kembali kepada asas serta mencari formula untuk membangunkan ummah berdasarkan al-Quran,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, panduan yang jelas perlu disediakan terutamanya dari segi penulisan dan penyampaian khutbah agar ia mampu memberi impak kepada ummah.
Tambah beliau, ia merupakan tanggungjawab semua pihak dalam melakukan perubahan dan menjadikan Jumaat sebagai hari yang bermakna untuk ummah mempersiapkan diri menghadapi hari akhirat.
“Mahu ubah semua, boleh tetapi perlu bermula daripada asas.
"Rujuk formula yang diterangkan dalam al-Quran dan paling penting ulama perlu memainkan peranan untuk membimbing umara serta ummah.
“Sebagai umat Islam, kita perlu fokus kepada yang perlu berdasarkan ajaran al-Quran dan sunnah supaya hidup tenang, meninggal dunia masuk syurga,” ujar Hussamuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!