Solat berjemaah di masjid dapat duit belanja sekolah

Khairol Fitri (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima wang saku selepas hadir solat Subuh berjemaah di masjid pagi tadi.
Khairol Fitri (tengah) bergambar bersama pelajar yang menerima wang saku selepas hadir solat Subuh berjemaah di masjid pagi tadi.
A
A
A

KEPALA BATAS - Datang solat Subuh berjemaah di masjid dan dapat wang saku untuk belanja di sekolah.

Itu pendekatan yang dilakukan oleh pengurusan Masjid Jamilul Jalal Wal Kamal, Pajak Song di sini pada hari pertama persekolahan bagi menggalakkan golongan pelajar mengimarahkan masjid sebelum ke sekolah.

Pengerusinya, Khairol Fitri Kiraman berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah kesinambungan kepada program cabaran 'jemaah warrior' yang diadakan sempena musim cuti sekolah baru-baru ini.

Menurutnya, dalam program berkenaan jemaah yang terdiri daripada remaja dan kanak-kanak perlu mengumpulkan cop setiap kali datang solat berjemaah di masjid dan mereka yang mempunyai cop terbanyak menerima hadiah sebuah basikal elektrik.

"Kita mahu masjid ini terus diimarahkan oleh kanak-kanak dan remaja dan disebabkan itu kita teruskan dengan program pemberian wang saku supaya dapat menggalakkan mereka untuk datang ke masjid.

"Selain mengajar disiplin supaya bangun awal pagi, program ini juga mendidik mereka tentang keberkatan dan kebaikan solat berjemaah selain membentuk jati diri dan serta rohani mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Khairol Fitri berkata, walaupun jumlah wang saku yang diberikan tidak seberapa namun dengan sumbangan yang diberikan itu dapat meringankan beban ibu bapa terutamanya kariah di masjid berkenaan.

Beliau berharap, lebih ramai pelajar yang mengambil kesempatan untuk turut serta dalam program ini kerana bukan sahaja mendapat pahala solat berjemaah malah turut mendapat wang saku untuk perbelanjaan harian mereka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!