Hawa mampu jadi wadah kepada masyarakat depani cabaran - Zahid
KUALA LUMPUR - Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (Hawa) mampu menjadi wadah kepada masyarakat khususnya para wanita dan keluarga dalam mendepani cabaran serta isu yang menjadi kepentingan mereka.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Hawa berjaya memainkan peranan penting dalam menambah baik hal ehwal wanita serta bersama-sama membina negara.
"Sekalung tahniah kepada Pengerusi Hawa Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan barisan kepimpinan Hawa,” katanya dalam catatan di Facebook pada Jumaat.
Semalam Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merasmikan pejabat Hawa di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Hawa ditubuhkan pada 22 Mac tahun lepas selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang pertama pasca-Pemilihan UMNO 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!