MATTA Fair Perak 2024 sasar jualan RM23 juta
PAMERAN Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak menyasarkan RM23 juta perolehan jualan pada Mac tahun ini dengan menawarkan pelbagai pakej percutian yang menarik.
Pameran bermula 9 hingga 10 Mac di Pusat Konvensyen Ipoh itu dijangka dikunjungi lebih 20,000 pengunjung.
Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, pengguna berpeluang membeli pakej percutian secara terus daripada pengendali pelancongan berlesen dan pemilik produk.
“Pameran ini selaras dengan ‘Tahun Melawat Perak 2024’ menerusi kerjasama antara MATTA Fair dan kerajaan negeri yang ingin menggalakkan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa bercuti di sini.
“Selain menawarkan pakej percutian domestik, kami turut menyediakan lawatan ke luar negara dengan tawaran perjalanan yang lebih menarik dan berpatutan.
“Kami yakin sasaran ini dapat dicapai walaupun persekitaran ekonomi semasa sangat mencabar pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, menurut Wendy, terdapat lebih 122 pempamer yang akan menyertai pameran tersebut dan terdapat aktiviti menarik sepanjang dua hari tersebut.
Ujarnya, pengunjung yang hadir berpeluang menyertai aktiviti cabutan bertuah dengan berbelanja secara minimum RM300.
Tambah beliau, pameran akan bermula pada jam 10 pagi sehingga 9 malam dan kemasukan adalah percuma.
“Hadiah yang ditawarkan termasuk baucar perjalanan MATTA, tiket penerbangan, baucar hotel dan banyak lagi.
“MATTA percaya bahawa dengan kerjasama dan sokongan daripada pempamer, penaja dan pertubuhan pelancongan negeri ia akan membawa kejayaan yang lebih besar kepada pertumbuhan industri pelancongan.
"Orang ramai boleh melayari platform media sosial rasmi kami di @facebook.com/mattaperak dan Instagram rasmi @mattaperak untuk sebarang kemaskini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!