Kematian mengejut individu 40 tahun ke bawah makin meningkat - Doktor

Simpton SADS dan serangan jantung sukar diketahui kerana ia berlaku dengan pantas. Gambar hiasan - Foto 123rf
Simpton SADS dan serangan jantung sukar diketahui kerana ia berlaku dengan pantas. Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A
KUALA LUMPUR - Golongan populasi berusia 40 tahun dan ke bawah di negara ini yang mengalami Sindrom Kematian Mengejut Golongan Dewasa (SADS), terutama akibat serangan jantung dan strok, semakin meningkat.

Pengasas Pusat Kesejahteraan Heart Bit E-ECP, Dr S Denesh berkata, ini mungkin disebabkan oleh kejutan terhadap sistem kardiovaskular berpunca daripada peningkatan mendadak aktiviti fizikal selepas tidak melakukannya dalam tempoh yang panjang semasa perintah kawalan pergerakan apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

"Aktiviti senaman fizikal dalam kalangan penduduk kita ketika itu amat kurang. Apabila perintah itu ditarik balik, ramai antara kita yang terlalu cepat dan agresif melakukan senaman sehingga menyebabkan kes SADS meningkat.

"Apabila anda tidak melakukan senaman dalam tempoh yang sebegitu lama, ia akan menyebabkan sedikit kejutan terhadap tubuh (jika seseorang itu secara tiba-tiba melakukan senaman secara intensif)," katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pada Jumaat.

Dr Denesh juga berkata, tahap tekanan yang tinggi, tidur tidak cukup dan sejarah penyakit jantung turut menyumbang kepada faktor berlakunya SADS.



Beliau berkata, simpton SADS dan serangan jantung sukar diketahui kerana ia berlaku dengan pantas dan oleh itu, langkah pencegahan seperti pengubahsuaian gaya hidup dan diet perlu dilakukan.
Artikel Berkaitan:


"Kita juga harus belajar cara untuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kerana ia boleh meningkatkan kadar survival bagi mereka yang terkena serangan jantung. Adalah penting untuk kita mengenal pasti simptom-simptomnya dan melakukan CPR dengan segera jika seseorang itu tidak bernafas," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!