Gangguan bekalan air: ADUN Penanti minta PBAPP jangan pilih bulu

Zulkefli (gambar kecil) gesa PBAPP bersikap adil dengan menyediakan tangki air statik di kawasan Seberang Perai Tengah sama seperti di kawasan lain dalam tempoh gangguan bekalan air bermula 10 Januari depan.
Zulkefli (gambar kecil) gesa PBAPP bersikap adil dengan menyediakan tangki air statik di kawasan Seberang Perai Tengah sama seperti di kawasan lain dalam tempoh gangguan bekalan air bermula 10 Januari depan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) digesa bersikap adil dengan pengguna yang tinggal di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dengan menyediakan tangki air statik sama seperti di kawasan lain dalam tempoh gangguan bekalan air bermula 10 Januari depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Zulkefli Bakar mendakwa, melalui taklimat yang diadakan bersama wakil rakyat pembangkang pada Jumaat, PBAPP memaklumkan pihaknya tidak akan menyediakan tangki air statik di seluruh SPT.

Menurutnya, bagi kawasan Penanti sahaja enam kampung bakal terkesan dengan gangguan bekalan air seperti di Pekan Penanti, Kubang Ulu, Kubang Semang, Padang Tembusu, Sungai Semambu dan Tanah Liat.

"PBAPP memaklumkan bahawa kampung-kampung ini akan alami masalah bekalan air selama 48 jam.

"Kami berasa kesal kerana pihak PBAPP tidak dapat mengusahakan walaupun sebuah tangki air statik di Seberang Perai Tengah dan hanya diberi nombor telefon koordinator jika berlaku kecemasan. Kenapa pengguna dan rakyat di sini tidak diberi kemudahan sama seperti penduduk di kawasan lain?" katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Zulkefli yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang turut mempertikaikan sikap PBAPP yang mengasingkan sesi taklimat berkenaan antara blok kerajaan dan blok pembangkang yang dipercayai mempunyai muslihat tertentu.

Beliau mempersoalkan mengapakah mesyuarat yang diadakan di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP di Komtar tidak disekalikan dengan ADUN kerajaan.

"Ini adalah masalah yang dihadapi oleh seluruh penduduk Pulau Pinang tetapi untuk taklimat kaedah penyelesaian dan bantuan diasingkan.

Artikel Berkaitan:

"Semua pengguna yang terkesan adalah pelanggan PBAPP jadi tidak adil sekiranya hak mereka dinafikan disebabkan sikap pilih bulu," katanya lagi.

Meskipun begitu, Zulkefli berkata, sekiranya penduduk di Penanti menghadapi kesulitan dalam tempoh gangguan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi Pejabat ADUN Penanti untuk tindakan lanjut di talian 017-4748458.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula jam 6 pagi pada 10 Januari hingga jam 6 pagi 14 Januari bagi membolehkan kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!