Tahun 2024: Masa untuk bersemangat waja
DALAM kita menyambut tahun baharu, penting untuk kita mengimbau kembali dan mengambil iktibar daripada cabaran tahun lepas.
2023 merupakan tahun yang penting bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dalam membentuk masa depan ekonomi lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk Malaysia dalam semua aspek: pelaburan, perdagangan dan industri.
Pelbagai inisiatif seperti pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), pembinaan kapasiti melalui rangka kerja i-ESG, Pelan Hala Tuju Industri Kimia dan dasar pro-EV, antara lain, semuanya telah membantu mengekalkan momentum pelaburan untuk Malaysia bagi tahun 2023.
Untuk sembilan bulan pertama 2023, pelaburan diluluskan ialah RM225 bilion, yang tertinggi dalam satu dekad, atau 6.6 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2022.
Pelaburan ini dijangka menjana hampir 90,000 pekerjaan. Walaupun jumlah pelaburan meningkat, jumlah perdagangan, terutamanya eksport terjejas ekoran kelembapan ekonomi global.
Untuk tahun 2024, ada tiga perkara yang saya ingin tegaskan. Pertama, dalam menjadikan pelaburan dan perdagangan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi kita, kita mesti bersedia mengambil risiko yang terhitung dalam menempa masa depan ekonomi baharu untuk Malaysia, terutamanya dalam ekonomi digital dan hijau.
Kedua, kita mesti melaksanakan rancangan dengan tepat. 2024 adalah tahun penting untuk kita terus maju di atas asas telah dibina tahun lepas.
Ketiga, kita mesti kekal di laluan yang telah dirangka, tidak kira betapa sukarnya cabaran. Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri, kita juga perlu menjelaskan inisiatif dan rasionalnya secara konsisten kepada rakyat, dan bagaimana ia memanfaatkan mereka dalam jangka masa panjang.
PERTUMBUHAN DIJANGKA RAPUH
Sebagai ekonomi perdagangan terbuka, prospek ekonomi global yang suram akan terus menjadi cabaran. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sudah mengurangkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.9 peratus untuk 2024.
Selain itu, risiko geopolitik berpunca daripada peperangan berterusan di serata pelosok dunia akan menguji daya tahan rantaian bekalan dan memberi tekanan ke atas kadar inflasi.
Kecelaruan disebabkan persaingan kuasa besar global hanya boleh diselesaikan dengan komitmen lebih kuat untuk mencari penyelesaian global. Walaupun beberapa ekonomi utama akan berhadapan pilihan raya penting pada tahun akan datang, usaha berterusan perlu diteruskan untuk meneruskan kerjasama ekonomi antarabangsa. MITI akan terus berwaspada dan kami berharap sektor swasta juga akan kekal berdisiplin.
Kerajaan optimis bahawa ekonomi kita akan berkembang antara 4 hingga 5 peratus pada 2024 jika wujud kestabilan lebih kukuh dalam ekonomi global bagi menyokong trajektori pertumbuhan dunia.
Sementara itu, kita mesti meningkatkan kredibiliti ekonomi kita. NIMP 2030, NETR, i-ESG dan lain-lain pelan adalah peluang untuk membuktikan hal ini.
Pelabur mendambakan kestabilan politik dan ketekalan dasar. Mereka juga ingin melihat destinasi pelaburan yang mempunyai visi dan sentiasa ditambah baik. Semua orang suka berurusan dengan negara yang progresif.
Pada tahun 2024, kami akan terus memudahkan proses menjalankan perniagaan dan keseluruhan perjalanan pelabur. Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini adalah usaha kami ke arah itu. Ia juga bakal meningkatkan Kedudukan Daya Saing Global negara.
Dengan peningkatan persaingan untuk pelaburan di rantau ASEAN, walaupun kita akan menghamparkan permaidani merah untuk pelabur global, kita
juga perlu memastikan pelaburan adalah daripada sektor yang disasarkan,
AGENDA UNTUK PELABURAN
Sementara itu, kerajaan sedang berusaha untuk membina rangka kerja ekosistem dan kawal selia yang menyokong pelaburan dalam ekonomi hijau dan digital.
Sebagai contoh, kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) dikenal pasti sebagai sektor pertumbuhan utama dalam NIMP, manakala salah satu misinya akan meningkatkan penggunaan teknologi melalui program Industry4WRD.
Melalui perkongsian antarabangsa yang mantap dan pembangunan jaguh tempatan, rakyat Malaysia mampu muncul sebagai pengeluar dan pemimpin teknologi, bukan sekadar menjadi pengguna semata-mata.
Dari sudut perdagangan, mantera kami adalah peningkatan nilai eksport. Rangka kerja i-ESG MITI akan membantu syarikat Malaysia mengakses pasaran sambil memenuhi syarat-syarat kemampanan di peringkat global. Masanya juga telah tiba untuk kita lebih memanfaatkan perjanjian FTA yang telah ditandatangani, seperti CPTPP dan RCEP.
CPTPP, sebagai contoh, telah membolehkan pengeksport dan pengeluar Malaysia meningkatkan akses kepada bukan sahaja destinasi tradisional seperti Jepun, tetapi juga pasaran baharu seperti Mexico, Kanada dan Peru. MITI dan agensinya komited untuk membantu syarikat Malaysia mamanfaatkan pasaran antarabangsa.
Akhir sekali, kita mesti meningkatkan kedudukan industri kita di dalam rantaian nilai global, serta menerapkan konsep kemampanan teknologi dan keterangkuman.
'Keterangkuman' di sini bukan sahaja melibatkan penciptaan peluang dan pengukuhan kapasiti PKS, tetapi juga dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih sekata di seluruh Malaysia.
Dalam melaksanakan NIMP 2030 yang transformatif, sudah pasti akan yang 'menang' dan 'kalah'. Transformasi industri, atau rombakan aliran perdagangan dan pelaburan tentu sekali akan memberi kesan kepada industri dan pekerjaan.
MITI beriltizam untuk menghasilkan lebih banyak pemenang, termasuk keberhasilan yang jelas bagi pihak-pihak berkepentingan seperti berikut:
* Bagi syarikat/pengeksport: Percepatkan penerapan ESG, termasuk peralihan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Yang sama penting adalah satu pelan peralihan yang adil untuk mereka. Tambahan pula, kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja akan mengubah ekonomi, tetapi juga interaksi antara kita secara radikal. Malaysia mesti menerima dan menggunapakai AI sebaik mungkin.
Objektif NIMP termasuk menaiktaraf 3,000 kilang menjadi kilang pintar dan memartabatkan Malaysia sebagai hab AI serantau.
* Untuk pekerja/rakyat: Peningkatan produktiviti dan juga gaji sedang diusahakan. Teknologi akan menyokong produktiviti pekerja, manakala sektor seperti tenaga boleh diperbaharui bakal mewujudkan pelbagai pekerjaan baharu untuk menggantikan industri tradisional secara strategik. Dasar Gaji Progresif juga akan mendorong peningkatan produktiviti dan daya saing ekonomi kita.
Jika semua ini berjaya dicapai, insya-ALLAH KDNK, pekerjaan dan pendapatan, semuanya akan meningkat bagi kesejahteraan rakyat Malaysia serta pengukuhan syarikat dan industri.
PEMIKIRAN RADIKAL
Hasil yang paling mampan akan sentiasa mengambil masa untuk dilaksanakan. Suka atau tidak, perubahan luaran akan berlaku. Oleh itu, kita mesti memastikan industri Malaysia bersedia lebih awal, dan MITI meneruskan hala tuju ditetapkan walaupun wujud pelbagai cabaran.
Ironinya, pengekalan hala tuju yang ditetapkan bermakna Malaysia mesti meninggalkan takuk lama, termasuklah model ekonomi masa lalu yang telah memanfaatkan kita selama beberapa dekad yang lalu tapi kini sudah perlu diubah.
Rakyat Malaysia memerlukan pemikiran radikal: kita perlu yakin dalam mencapai sesuatu yang di luar jangkaan biasa, seperti penyelesaian radikal berdasarkan teknologi terbaharu bagi menyelesaikan masalah yang kelihatan mustahil untuk diatasi.
Kita perlu beralih daripada pemikiran: “Kita tidak boleh lakukan X,Y,Z kerana ini Malaysia, dan kita rakyat Malaysia,” kepada: “Kita AKAN buat X,Y,Z, kerana ini Malaysia dan Kerana kita rakyat Malaysia.” Pendekatan sebegini yang sepatutnya menjadi resmi kita, beralaskan sikap ingin tahu dan keyakinan yang kental.
Resolusi Tahun Baharu saya adalah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia berfikiran sebegini, dan meyakinkan mereka untuk terus berbuat demikian.
Matlamat kita adalah untuk mengukuhkan masa depan ekonomi Malaysia, di mana belia kita mempunyai pekerjaan dengan gaji yang berpatutan, dan syarikat mencapai keuntungan berlipat ganda.
Azam peribadi saya pula adalah untuk makan lebih sihat, tingkatkan kecergasan dan mencipta detik lebih bermakna bersama keluarga. Mohon doakan kedua-duanya tercapai untuk saya!
Semoga semangat kita kekal tabah dalam mencapai semua yang dirancang. Tahun 2024: kami sudah bersedia!
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!