Kelantan mohon peruntukan tambahan siapkan bangunan SJKC Yuk Tze
Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, dana RM700,000 diperlukan sekolah ini dan pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyiapkan bangunan baru tersebut.
"Mereka (SJKC Yuk Tze) berhasrat mahu peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Kami PH akan mencadangkan permohonan ini kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.
"Menjadi tanggungjawab semua pihak membantu sekolah ini yang merupakan sekolah tertua di Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas lawatan di tapak pembinaan bangunan baru SJKC Yuk Tze, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Pembinaan bangunan empat tingkat ini bagi menyelesaikan masalah kelas tidak cukup menyebabkan murid tahun empat dan lima yang berbilang kaum menumpang di sekolah sebelah di Sekolah Kebangsaan(SK) Kelaboran.
SKJC Yuk Tze adalah sekolah tertua ketika ini di Kelantan kerana ia dibina 102 tahun yang lalu.
Guru Besar SJKC Yuk Tze, Loo Ai Cheng berkata, dana RM700,000 diperlukan bagi memastikan bangunan yang masih dalam pembinaan dapat disiapkan pada Mac ini.
"Kami harap permohonan kami dipertimbangkan demi murid di sekolah ini yang terpaksa berulang-alik sejauh 350 meter setiap hari kerana menumpang belajar di SK Kelaboran.
"Ia melibatkan kira-kira 200 pelajar darjah empat dan lima, masalah tidak cukup kelas ini berlarutan sejak tahun 2014 lagi," katanya.
Jumlah murid di sekolah ini seramai 525 terdiri daripada murid Siam, Melayu, Cina dan India.
Bangunan ini dibina dengan peruntukan RM2.2 Juta sebelum ini namun ia tidak mencukupi untuk menyiapkannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!