Penjawat awam Kelantan dapat bonus tambahan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengumumkan pemberian bonus tambahan sebanyak RM500 lagi kepada lebih 6,000 kakitangan awam negeri berkenaan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pembayaran bonus berkenaan akan dibuat pada minggu hadapan.
Selain kakitangan awam, Ahmad turut memberitahu semua lantikan politik seperti penghulu dan guru al-Quran bakal menerima RM250 seorang.
“Walaupun bajet asal adalah defisit tetapi kita cuba sedaya upaya untuk mengurus kewangan sebaik mungkin.
"Bonus yang tahun 2019 kita sudah bayar kepada semua dan ini adalah tambahan,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Amanat Tahun Baru 2020 kepada kakitangan awam di Kompleks Kota Darul Naim.
Hadir sama, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad.
Sebelum ini, Kelantan telah memberikan RM500 seorang bonus kepada semua penjawat awam negeri tersebut dan ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,000 seorang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!