Tze Yong bakal tampil lebih bertenaga - Jurulatih

Tze Yong. Foto AFP
Tze Yong. Foto AFP
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bakal tampil berbeza dan lebih bertenaga pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Bukit Jalil minggu depan.

Jurulatihnya, Hendrawan mendedahkan pemain muda itu mendapat sentuhan bekas jurulatih fizikal Datuk Lee Chong Wei, Mohd Rosdi Abd Ghani bagi memantapkan fizikal dan kondisi badannya.

“Selama ini kita kurang fokus kepada kecergasan jadi tempoh sebulan (tanpa kejohanan) kita lebih tumpu kepada perkara itu dan tengok nanti bagaimana pada Terbuka Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.

Hendrawan menjelaskan proses untuk meningkatkan tahap kecergasan Tze Yong perlu mengambil masa panjang dan diharapkan tahap fizikal pemain ranking ke-15 dunia itu akan lebih baik pada kejohanan tersebut.

“Tze Yong masih perlu diasah lagi dan ia memerlukan masa. Kita cuba lihat impak untuk satu dua bulan ini apabila kita fokus kepada kekuatan fizikal dan kecergasannya.

“Kita tidak boleh memaksa perwatakan atau kekuatan seseorang itu berubah tetapi kita harus tahu kekuatan mereka jadi boleh memperbaiki sedikit demi sedikit,” katanya.

Tze Yong sebelum ini sempat menjalani latihan bersama Chong Wei di ABM sebagai persiapan menghadapi kejohanan pembuka tirai musim 2024.

Dalam pada itu, pengarah kejurulatihan, Rexy Mainaky mengakui Rosdi sudah membuat pemerhatian terhadap Tze Yong terutama bagi memperkuatkan kaki dan tubuh badannya.

Artikel Berkaitan:

“Tze Yong mengakui kakinya kepenatan selepas final Terbuka Arctic tahun lalu. Jadi agak baik dia akui sendiri dan apabila pulang ke tanah air kita boleh menumpukan kelemahan itu.

“Memang satu usaha yang bagus dalam mempertingkatkan bahagian berkenaan di bawah pemerhatian Rosdi. Sudah dua bulan dia memantau Tze Yong bersama Leong Jun Hao,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!