23 tahun anak terlantar atas katil

Hamidin (kiri) bergilir-gilir bersama isterinya cekal menjaga Nurul Nizam yang hanya mampu terlantar sejak 23 tahun lalu
Hamidin (kiri) bergilir-gilir bersama isterinya cekal menjaga Nurul Nizam yang hanya mampu terlantar sejak 23 tahun lalu
A
A
A

SABAK BERNAM - Pasangan warga emas tetap cekal menguruskan anak lelaki mereka yang terlantar akibat kemalangan jalan raya sejak 23 tahun lalu.

Bainah Ali, 67, berkata, sepanjang tempoh itu, dia dan suaminya, Hamidin Jamal, 67, tidak sesekali menyesal dengan takdir sebaliknya reda dengan ujian dari ALLAH.

Menurutnya, selagi ada kudrat mereka akan terus menjaga Muhammad Nurul Nizam Hamidin, 42, hingga nafas terakhir.

"Saya berdoa biarlah ALLAH cabut nyawa anak kami dulu barulah kami menyusul kemudian kerana tak sanggup melihat dia menderita kesakitan," katanya ketika ditemui pada Program Kunjungan Mesra Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di kediamannya di Kampung Tebuk Mufrad di sini pada Jumaat.

Bainah berkata, anak kelima daripada enam beradik itu sebelum ini sama seperti remaja seusianya, namun segala-galanya berubah selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Rawang pada tahun 2001.

Katanya, segala keperluan Nurul Nizam dilakukan secara bergilir-gilir bersama suami termasuk menyuap makan, minum, menukar lampin pakai buang dan memandi atau mengelap badannya pada setiap hari.

"Sejak peristiwa itu, anak saya tak mampu berjalan dan menguruskan diri selain hanya mampu terbaring di katil," ujarnya.

Rizam (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Nurul Nizam semasa kunjungan mesra di kediamannya di Kampung Tebuk Mufrad di sini pada Jumaat.
Rizam (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan Perkeso kepada Nurul Nizam semasa kunjungan mesra di kediamannya di Kampung Tebuk Mufrad di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengimbau kejadian itu, Nurul Nizam yang ketika kejadian berusia 19 tahun berkata, kemalangan itu berlaku sewaktu dia ingin ke tempat kerja di Rawang.

Bagaimanapun, katanya, motosikal ditunggangnya ketika itu gagal dikawal selepas merempuh sebuah van yang membuat pusingan U secara tiba-tiba.

"Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan pada saraf tunjang di bahagian leher menyebabkan pergerakan saya terbatas hingga ke hari ini.

"Saya pada mulanya mengalami trauma selama lima tahun dan kerap menangis bersendirian, namun ia beransur-ansur pulih dan reda dengan ketentuan-Nya," jelasnya.

Nurul Nizam memberitahu, setiap bulan dia perlu menjalani rutin rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Rehabilitasi Cheras.

"Hospital ini sudah seperti menjadi rumah kedua saya, namun saya perlu kuat untuk meneruskan kehidupan," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, kunjungan bersama-sama Perkeso itu bagi menyampaikan sumbangan yang diperlukan Nurul Nizam dalam menjalani kehidupan harian.

"Kami simpati apa yang berlaku dan berharap keluarga dan Nurul Nizam tabah dan kuat menghadapi ujian ini," katanya.

Pengurus Perkeso Tanjong Karang, Roseman Muhamad Damanhuri berkata, Nurul Nizam menerima dua bayaran pencen bulanan berjumlah RM1,398 bawah peruntukan dua akta perlindungan sosial.

Katanya, sebanyak RM898 bayaran berkala hilang upaya kekal dan sebanyak RM500 sebulan menerusi Skim Bayaran Layanan Sentiasa (ELS).

"Bayaran bulanan ini telah diberikan sejak 23 tahun lalu dan ia secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga ini," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!