Messi belum raih satu anugerah lagi
LIONEL Messi telah memenangi anugerah Ballon d'Or sebanyak lapan kali sepanjang kariernya, tetapi satu anugerah masih belum dirangkul pemain Argentina itu.
Pemenang Piala Dunia dan Liga Juara-Juara sebanyak empat kali itu masih belum dapat meraih anugerah Kaki Emas.
Mula diperkenalkan pada tahun 2003, anugerah tersebut bertujuan untuk memberi penghormatan kepada pemain berumur 28 tahun ke atas.
Di bawah peraturan anugerah, pemain hanya boleh menerima anugerah sekali sahaja dalam karier permainan mereka.
Messi masih belum merangkul hadiah itu, walaupun layak untuk tujuh edisi terakhir.
Penjaga gol, Gianluigi Buffon dan Iker Casillas memenangi anugerah itu pada 2016 dan 2017, manakala penyerang Edison Cavani menjadi pemenang pada tahun berikutnya.
Bintang Real Madrid, Luka Modric memperoleh anugerah tersebut pada 2019, setahun selepas memenangi Ballon d'Or buat kali pertama.
Saingan hebat Messi, Cristiano Ronaldo menewaskannya untuk anugerah itu pada 2020, dengan Mohamed Salah dan Robert Lewandowski memenangi edisi terkini.
Penganjur telah mengumumkan edisi terbaharu anugerah itu akan diberikan pada musim panas selepas sebelum ini disampaikan pada penghujung tahun.
Messi mungkin akan bersaing untuk memenangi hadiah 2023 apabila penganjur mengumumkan senarai pencalonan, memandangkan dia adalah pemenang Ballon d'Or.
Pemain berusia 36 tahun itu membantu PSG merangkul kejuaraan Ligue 1 pada musim terakhirnya di kelab Perancis itu, sebelum berpindah ke kelab MLS Inter Miami.
Kevin De Bruyne dari Man City, Harry Kane dari Bayern Munich dan bekas penyerang Real Madrid Karim Benzema adalah antara pemain terkenal yang masih belum memenangi anugerah itu dan mungkin akan bersaing dengan Messi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!