Tiga bulan selesaikan isu tandas di Kota Kinabalu
KOTA KINABALU - Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi jaminan akan meningkatkan tahap kebersihan tandas awam di sekitar ibu negeri dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, jaminan itu diberikan susulan timbul rungutan daripada peniaga dan warga bandar raya terhadap tandas awam milik DBKK.
Menurutnya, dalam beberapa siri lawatannya ke beberapa lokasi yang menjadi tumpuan warga bandar raya mendapati isu tandas dan permukaan lantai jubin yang licin mendapat maklum balas yang kurang memuaskan.
"Saya sendiri melihat dan memeriksa beberapa tandas awam milik DBKK. Ada ruang untuk ditambah baik agar ia dapat digunakan secara meluas khususnya dalam kalangan warga bandar raya.
"Jadi kita akan pastikan dalam tempoh tiga bulan isu kebersihan tandas ini akan dapat diselesaikan sekali gus mencerminkan imej sebenar bandar raya agar menjadi tumpuan pelancong," katanya kepada pemberita selepas melawat di sekitar kawasan Foh Sang di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe yang dan Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin.
Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan akan membuat pemantauan secara kerap keadaan tandas dan mengambil maklum aduan yang disampaikan warga bandar raya.
"Ini adalah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) utama yang perlu dicapai oleh DBKK bagi memastikan Bandaraya Kota Kinabalu mesra kepada pengguna serta boleh dilawati oleh semua lapisan masyarakat termasuk pelancong.
"Kita akan memberikan perhatian kepada isu yang dibangkitkan oleh orang ramai dalam siri lawatan beberapa hari lalu. Bukan terhad kepada masalah tandas sahaja malah aduan lain yang ditimbulkan oleh orang ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!