Thailand mulakan 2020 dengan larangan beg plastik
BANGKOK - Thailand memulakan tahun baru 2020 dengan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di kedai utama di seluruh negara.
Ia sekali gus meneruskan kempen yang dilancarkan kerajaan dan peruncit ke arah larangan sepenuhnya pada 2021 bagi mengurangkan sampah serta serpihan di laut.
Kesedaran awam tentang risiko kepada haiwan dan alam sekitar daripada sampah telah meningkat tahun lalu susulan siri kejadian di mana haiwan termasuk rusa serta anak dugong mati dengan sistem penghadaman dipenuhi plastik.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Varawut Silpa-Archa berkata, Thailand menduduki tempat keenam dalam kalangan negara teratas dunia yang membuang sampah ke laut.
"Dalam tempoh lima bulan lalu, kami turun ke nombor 10. Ia adalah hasil kerjasama semua rakyat di negara ini, terima kasih," katanya.
Katanya lagi, aspek paling mencabar adalah 40 peratus daripada beg plastik digunakan di pasar dan kawasan luar bandar.
"Bukan mudah untuk mengubah cara berfikir dan tingkah laku seseorang individu itu," jelasnya.
Menurut kementerian itu, Thailand berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik sebanyak dua bilion atau sekitar 5,765 tan tahun lalu, dalam fasa pertama kempen untuk menggalakkan pengguna tidak menggunakan beg plastik dari kedai. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!