Gempa bumi Jepun: Angka kematian meningkat kepada 100, 211 hilang

Angka kematian meningkat kepada 100 orang di wilayah Ishikawa selepas beberapa siri gempa bumi mencecah 7.6 pada skala Richter melanda wilayah itu. - AFP
Angka kematian meningkat kepada 100 orang di wilayah Ishikawa selepas beberapa siri gempa bumi mencecah 7.6 pada skala Richter melanda wilayah itu. - AFP
A
A
A

TOKYO - Angka kematian meningkat kepada 100 orang di wilayah Ishikawa selepas beberapa siri gempa bumi mencecah 7.6 pada skala Richter melanda wilayah itu, lapor Xinhua.

Seramai 211 orang dilaporkan hilang di wilayah berkenaan sehingga Sabtu, menurut media tempatan memetik pihak berkuasa tempatan.

Bandar Wajima yang paling terjejas merekodkan 59 kematian manakala kira-kira 100 orang dilaporkan tertimbus dan terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Gegaran susulan dilaporkan masih melanda wilayah terbabit.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mendedahkan gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter melanda wilayah Noto pada 5.25 pagi waktu tempatan Sabtu pada kedalaman 10 kilometer.

JMA mengeluarkan amaran kepada penduduk tempatan supaya berwaspada terhadap kemungkinan banjir lumpur susulan hujan dijangka melanda wilayah itu pada Sabtu.

Kemudahan infrastruktur mengalami kerosakan teruk dengan kira-kira 24,000 isi rumah menghadapi gangguan bekalan elektrik dan 66,000 isi rumah terputus bekalan air di 14 bandar dan pekan setakat 8 pagi waktu tempatan Sabtu, lapor Agensi Berita Kyodo. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!