Rasuah RM6 juta: KFA adakan mesyuarat khas
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan isu rasuah yang terpalit dengan persatuan berkenaan.
Mesyuarat itu sekali gus mengesahkan penahanan Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron bersama tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan Negeri, Muhamad Radhi Mat Din berkata, kes rasuah itu amat mengejutkannya kerana melibatkan individu yang paling 'bekerja' dalam persatuan terbabit.
Oleh itu katanya, mesyuarat berkenaan perlu diadakan untuk mendapat pencerahan dengan lebih terperinci tentang rasuah yang melibatkan jumlah lebih RM6 juta.
"Tapi kita tidak tahu apa di sebalik itu dan kita kena tunggu dahulu laporan berkaitannya.
"Disebabkan itu kita perlu bagi masa untuk proses berkaitan berjalan dan lihat pertuduhan itu datang dari mana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri di Kompleks Belia dan Sukan Kedah di sini pada Sabtu.
Menurutnya yang juga Naib Presiden KFA, pihak yang dituduh itu selama ini berperanan membantu membayar hutang KFA.
Pada Jumaat, SPRM menahan reman empat individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di utara tanah air selama tiga hari bermula Jumaat sehingga 7 Januari depan.
Kesemua mereka disyaki meminta serta menerima wang rasuah bernilai lebih RM6 juta pada tahun 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!