Sungai, sistem perparitan cetek punca banjir
JOHOR BAHRU - Masalah sungai dan sistem perparitan cetek menjadi punca banjir di Kampung Paya dan Kampung Sungai Serai di sini sejak Khamis.
Ramlan Keloh, 68, dari Kampung Paya mendakwa, sungai Redan dan sungai Serai selain parit di belakang rumah penduduk cetek dan akan melimpah apabila hujan lebat sekali gus mengakibatkan banjir.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, sungai berkenaan perlu didalami dan dilebarkan lagi termasuk sistem perparitannya tidak lagi dapat menampung kapasiti air yang banyak.
"Apabila parit penuh air tidak mengalir dan bertakung. Ini belum diburukkan lagi dengan kejadian air pasang," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (S) Ladang Nam Heng, Tebrau di sini pada Sabtu.
Dia bersyukur kerana keluarganya sempat menyelamatkan motosikal dan kereta selepas menyedari serta bersiap sedia apabila air mula naik.
Seramai 43 mangsa banjir melibatkan 12 keluarga dari Kampung Paya dan Kampung Sungai Serai ditempatkan di PPS berkenaan sejak 4 pagi Khamis.
Dalam pada itu, Hamzah Alwi, 66, dari Kampung Sungai Serai pula berkata, masalah banjir sudah berlarutan sejak lima tahun lalu dan berharap segera diselesaikan pihak bertanggungjawab untuk kepentingan penduduk.
"Sebelum ini banjir tidak seteruk ini tetapi sejak lima tahun lalu bertambah buruk dan terpaksa berpindah," katanya yang mempunyai empat anak.
Saniah Acun, 75, dari Kampung Redan berkata, kawasan perkampungan mereka rendah dan apabila hujan air sungai serta parit akan bertakung untuk beberapa hari kerana tidak dapat mengalir keluar.
"Ini akan mengakibatkan 'banjir termenung'. Urusan penduduk terjejas termasuk murid-murid tidak dapat ke sekolah selama beberapa hari," ujarnya.
Ibu kepada enam anak itu berkata, banjir kali ini, air naik sehingga hampir satu meter menyebabkan perkakas rumah rosak ditenggelami air.
"Walaupun penduduk sudah meletakkan barang-barang dalam rumah seperti tilam, peti ais, mesin basuh dan barang-barang elektrik di tempat tinggi tetapi nasib tidak baik kerana ditenggelami banjir," katanya.
Abas Ismail, 48, dari Kampung Sungai Serai yang bekerja sebagai tukang paip bersyukur kerana sempat mengalihkan perkakas dan barang elektrik ke tempat tinggi termasuk buku-buku sekolah anak-anaknya.
Dia yang mempunyai 11 anak berkata, ketika ini hanya bahagian dapur rumahnya masih ditenggelami air dan dijangka dapat pulang ke rumah jam 3 petang Sabtu sekiranya keadaan cuaca baik dan air surut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!