Remaja cedera dipukul gara-gara tak mahu ponteng sekolah

Tular video memaparkan suspek bertindak memukul mangsa dalam kejadian di tepi jalan Prima Pelangi, Segambut Dalam pada Jumaat.
Tular video memaparkan suspek bertindak memukul mangsa dalam kejadian di tepi jalan Prima Pelangi, Segambut Dalam pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara menolak ajakan rakan untuk ponteng sekolah, seorang remaja cedera dipukul dalam kejadian di tepi jalan Prima Pelangi, Segambut Dalam dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit kira-kira jam 5.33 petang.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila mangsa berumur 15 tahun itu tidak mahu mengikut suspek ponteng sekolah.

"Suspek yang tidak berpuas hati dengan mangsa kemudiannya memaksa mangsa menaiki motosikal sebelum dibawa ke lokasi kejadian berdekatan dengan sebuah kondominium," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, setibanya di lokasi, mangsa dipukul oleh suspek menggunakan topi keledar di bahagian muka dan dada.

"Siasatan turut mendapati kejadian dirakam oleh rakan-rakan suspek dan video terbabit tersebar dalam kalangan pelajar Tingkatan Tiga sekolah terlibat sebelum tular di media sosial.

"Suspek terlibat yang merupakan rakan suspek kemudiannya diberkas kira-kira jam 1.22 pagi pada Sabtu dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Sukarno berkata, polis turut merampas satu topi keledar berwarna merah dipercayai digunakan ketika memukul mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah di minta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!