Legenda Brazil, Mario Zagallo meninggal dunia
MARIO Zagallo, yang memenangi empat Piala Dunia untuk Brazil sama ada sebagai pemain atau jurulatih, termasuk edisi 1970 yang dianggap sebagai yang terbaik, meninggal dunia pada usia 92 tahun, menurut catatan di akaun Instagram rasminya pada Sabtu.
Zagallo seorang pemain sayap kiri kuat dan berbakat, memenangi Piala Dunia pertama bersama Brazil pada 1958.
Pada 1970, dia melatih skuad Brazil yang menampilkan pemain hebat sepanjang zaman seperti Pele, Jairzinho, Rivellino dan Tostao - yang dianggap ramai sebagai pasukan kebangsaan terhebat pernah bermain.
Itu menjadikan Zagallo orang pertama memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan pengendali.
Kemudian, beliau menjadi penolong jurulatih kepada Carlos Alberto Parreira apabila Brazil memenangi gelaran keempat pada 1994 di Amerika Syarikat.
Penyokong-penyokong Brazil menyukainya kerana keperibadiannya yang unik dan nasionalisme yang tinggi.
Dia suka mengatakan dilahirkan dengan kemenangan di sisinya dan jarang segan untuk mencabar mereka yang mengatakan pasukannya terlalu bertahan.
“Ayah saya tidak mahu saya menjadi pemain bola sepak, dia tidak membenarkan saya. Pada masa itu ia bukan satu profesion yang dihormati, masyarakat tidak memandangnya dengan baik.
"Sebab itu saya katakan bola sepak datang ke dalam hidup saya secara tidak sengaja,” kata Zagallo dalam temu bual yang diterbitkan oleh Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!